NEW YORK: Jaket kulit hitam yang pernah dipakai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang dijual pada harga AS$960,000 (kira-kira RM4.5 juta) dalam satu lelongan di sini, pada Jumaat, jauh melebihi anggaran awal AS$60,000.
Menurut rumah lelong Sotheby's, jaket jenama Tom Ford itu menarik minat besar dalam kalangan pengumpul apabila seramai 45 pembida mengambil bahagian sepanjang proses lelongan.
Ketua Koleksi Moden Sotheby's, Brahm Wachter menyifatkan jaket tersebut sebagai satu objek yang mempunyai kaitan rapat dengan antara tokoh paling berpengaruh dalam era kecerdasan buatan (AI) masa kini.
Seperti pengasas Apple, Steve Jobs yang terkenal dengan baju leher tinggi hitamnya, atau Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg yang sering tampil dengan kemeja-T kelabu, Huang menjadikan jaket kulit sebagai identiti serta gaya penampilan khasnya.
Beliau dilihat mengenakan jaket kulit pada hampir setiap kemunculan awam, termasuk ketika menghiasi muka depan majalah Time pada 2021.
Di bawah kepimpinan Huang, Nvidia berkembang pesat daripada pengeluar cip komputer kepada syarikat tersenarai awam paling bernilai di dunia, didorong ledakan permintaan terhadap teknologi AI.
Hasil kutipan lelongan tersebut akan disalurkan kepada Edge Institute, sebuah organisasi bukan untung yang memberi tumpuan kepada pendidikan bahasa Inggeris serta latihan profesional berasaskan kaedah perniagaan dan pendidikan Barat.