Jalan di Bangkok ditutup untuk perarakan jasad raja

Bernama
Oktober 14, 2016 06:21 MYT
Seorang wanita sedang memegang potret Raja Bhumibol Adulyadej sementara menunggu giliran untuk memasuki istana Grand Palace di Bangkok - MUNIR UZ ZAMAN / AFP
BANGKOK: Perarakan untuk membawa jasad Raja Bhumibol Adulyadej dari Hospital Siriraj ke Grand Palace akan bermula 1 tengah hari ini (waktu tempatan).
Perarakan itu akan melalui jambatan Arun Amarin dan Phra Pinklao sebelum berarak ke jalan Ratchadamnoen untuk ke Grand Palace, memasuki istana itu menerusi Thevapirom Gate.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan perarakan itu di sepanjang laluan yang ditetapkan dan dinasihatkan untuk memakai pakaian hitam sebagai tanda berkabung dan menghormati kemangkatan raja, kata Biro Isi Rumah Diraja.
BACA: 10 perkara anda perlu tahu tentang Raja Thailand Bhumibol Adulyadej
GALERI FOTO: Mengenang Raja Bhumibol Adulyadej
Hari ini merupakan cuti umum di Thailand, menurut kerajaan itu.
Sementara itu, Polis Metropolitan Bangkok dalam satu kenyataan berkata, beberapa jalan akan ditutup kepada orang awam bagi memberi laluan kepada perarakan itu ke Istana Diraja dengan lancar.
Terdahulu, pada sebelah pagi, sebilangan besar rakyat Thai hadir ke upacara khas di hadapan imej mendiang raja berkenaan di pavilion Sala Sahathai Samakhom di dalam Grand Palace.
Upacara khas itu bermula pagi tadi dan dijadualkan berakhir tengah hari ini.
Raja Bhumibol, 89, yang menduduki takhta selama 70 tahun, mangkat pada pukul 3.52 petang semalam di Hospital Siriraj semasa menerima rawatan pelbagai penyakit di hospital itu.
Keadaan kesihatan raja paling lama bersemayam di dunia itu kurang baik selama beberapa tahun.
Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, 54, anak kedua mendiang raja dan satu-satunya putera daripada empat beradik dijangka menaiki takhta sebagai Raja Thai yang baharu.
Baginda dilantik sebagai pewaris takhta sejak 1972 pada usia 20 tahun. -- BERNAMA
#Bangkok #Raja Bhumibol #Thailand