DUNIA

Jamaica dilanda Taufan Melissa, ribut paling dahsyat dalam sejarah

Agensi 28/10/2025 | 22:15 MYT
NHC memberi amaran bahawa "kemusnahan struktur secara total" berkemungkinan besar berlaku di laluan Melissa. - Gambar Reuters
KINGSTON: Taufan Melissa melanda barat Jamaica pada petang Selasa sebagai ribut Kategori 5 yang paling kuat pernah direkodkan menimpa negara Caribbean itu, yang mempunyai populasi sekitar 2.8 juta orang.

Melissa mendarat berhampiran pekan New Hope, kira-kira 62 kilometer dari Montego Bay, dengan kelajuan angin mencecah 295 kilometer sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC).

Kategori 5 merupakan tahap tertinggi dalam skala Saffir-Simpson, yang memerlukan kelajuan minimum 252 kilometer sejam.

Ribut yang bergerak perlahan itu dijangka kekal kuat ketika melintasi kawasan pergunungan Jamaica yang terdedah kepada tanah runtuh dan banjir, sebelum menuju ke Santiago de Cuba, bandar kedua terbesar di Cuba.

NHC memberi amaran bahawa "kemusnahan struktur secara total" berkemungkinan besar berlaku di laluan Melissa.

“Keruntuhan mungkin luar biasa, sesuatu yang belum pernah disaksikan oleh penduduk Jamaica,” kata pakar taufan utama AccuWeather, Alex DaSilva.

“Negara ini tidak pernah menerima hentaman langsung daripada taufan Kategori 4 atau 5 dalam sejarah moden.”

Melissa kini menjadi taufan ketiga paling kuat pernah direkodkan di Caribbean selepas Wilma (2005) dan Gilbert (1988).

Gilbert merupakan taufan besar terakhir yang melanda Jamaica secara langsung.

Gangguan bekalan elektrik dan pemindahan besar-besaran

Sebelum Melissa mendarat, syarikat utiliti elektrik Jamaica (JPS) melaporkan gangguan bekalan kepada lebih satu pertiga pelanggan, dengan beberapa kawasan paling terjejas menyaksikan sehingga 75 peratus pengguna kehilangan bekalan.

Menteri Kerajaan Tempatan, Desmond McKenzie, memaklumkan hampir 6,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Kerajaan turut mengeluarkan arahan pemindahan wajib kepada kira-kira 28,000 penduduk, namun ada yang enggan meninggalkan kediaman masing-masing.

“Jangan sesekali ambil mudah Melissa, anda akan menyesal,” tegas McKenzie sambil menyeru penduduk agar berlindung di pusat perlindungan dan memperkukuh kediaman mereka.

‘Taufan abad ini’ buat Jamaica

Pakar taufan dari Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Anne-Claire Fontan, menyifatkan situasi itu sebagai “bencana besar” dan menyatakan bahawa Melissa adalah “taufan abad ini” buat Jamaica.

Lonjakan ombak setinggi empat meter dan hujan melebihi 70 sentimeter dijangka berlaku, menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang dahsyat.

Negara jiran seperti Haiti dan Republik Dominican turut mengalami hujan lebat selama beberapa hari, menyebabkan sekurang-kurangnya empat kematian.

Di Jamaica, tiga kematian dilaporkan ketika persiapan menghadapi ribut.

Cuba dan Bahamas turut bersiap siaga

Selepas melintasi timur Cuba, Melissa dijangka menuju ke Bahamas. Perdana Menteri Bahamas, Philip Davis, telah mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan selatan dan timur kepulauan itu.

Di Cuba, lebih 500,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan berisiko.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel menegaskan, tiada kompromi dalam usaha melindungi nyawa rakyat.

“Melissa akan tiba dengan kekuatan luar biasa, dan kami bimbang dengan kemusnahan yang bakal ditinggalkan,” katanya.

Melissa semakin kuat, ancaman meningkat

Pergerakan perlahan Melissa di atas perairan Caribbean yang luar biasa panas telah menyumbang kepada peningkatan saiz dan kekuatannya, menurut NHC.

Ribut itu dijangka membawa hujan sehingga 762 milimeter ke Jamaica dan 305 milimeter ke Hispaniola.

Persekutuan Palang Merah Antarabangsa menjangkakan sehingga 1.5 juta penduduk Jamaica akan terjejas secara langsung.

“Ini hari yang amat sukar buat puluhan ribu, malah mungkin jutaan penduduk Jamaica,” kata pegawai IFRC, Necephor Mghendi dari Port of Spain, Trinidad dan Tobago.

“Bumbung akan diterbangkan, air banjir akan naik, dan ramai akan terputus hubungan.”

Palang Merah telah menempatkan barangan keperluan seperti kanvas, kit kebersihan, selimut dan air bersih di cawangan seluruh pulau, dengan lebih 800 pusat perlindungan disediakan.

Melissa mendarat di barat daya Jamaica, kawasan yang turut terjejas teruk akibat Taufan Beryl tahun lalu.

Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness telah mengarahkan pemindahan wajib di beberapa kawasan selatan termasuk bandar bersejarah Port Royal.

Beliau memberi amaran tentang kerosakan kepada ladang, kediaman dan infrastruktur di pulau yang bersaiz hampir sama dengan negeri Connecticut, Amerika Syarikat.

“Tiada infrastruktur di rantau ini yang mampu bertahan menghadapi Kategori 5,” katanya.

Holness berkata, kerajaan telah bersiap sedia dengan bajet kecemasan sebanyak AS$33 juta serta perlindungan insurans dan kredit untuk kerosakan yang dijangka lebih besar berbanding Beryl.

Para saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim yang memanaskan lautan telah menyebabkan taufan menjadi lebih kuat dan cepat.

“Taufan besar yang bergerak perlahan sering tercatat sebagai antara yang paling dahsyat dan memusnahkan dalam sejarah,” kata Ketua Meteorologi AccuWeather, Jonathan Porter.

“Ini adalah situasi genting yang sedang berlaku secara perlahan.”


#Jamaica #Taufan Melissa #ribut paling dahsyat #negara Caribbean