DUNIA

Jambatan kereta api tertinggi dunia dibuka di wilayah konflik Kashmir

Astro Awani 06/06/2025 | 10:10 MYT
Narendra Modi ketika merasmikan Jambatan Kereta Api Chenab, yang kini diiktiraf sebagai jambatan kereta api tertinggi di dunia. -x@PMOIndia
KASHMIR: Perdana Menteri India, Narendra Modi hari ini merasmikan Jambatan Kereta Api Chenab, yang kini diiktiraf sebagai jambatan kereta api tertinggi di dunia.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri India, Narendra Modi merasmikan Jambatan Kereta Api Chenab di Jammu dan Kashmir, yang kini menjadi jambatan kereta api tertinggi di dunia pada ketinggian 359 meter di atas Sungai Chenab.
  • Jambatan ini merupakan sebahagian daripada projek rel Udhampur-Srinagar-Baramulla sepanjang 272 km, yang merangkumi 36 terowong dan 943 jambatan, serta direka untuk tahan cuaca ekstrem dan gempa bumi.
  • Projek ini dijangka merangsang ekonomi, pelancongan dan kesalinghubungan di rantau tersebut, mengurangkan masa perjalanan antara Katra dan Srinagar kepada tiga jam, dan turut melibatkan pelancaran Jambatan Anji Khad serta perkhidmatan Vande Bharat Express.


Terletak di daerah Reasi, Jammu dan Kashmir, jambatan ini berdiri megah pada ketinggian 359 meter di atas Sungai Chenab, menjadikannya 35 meter lebih tinggi daripada Menara Eiffel.

Dalam majlis perasmian yang berlangsung penuh simbolik, Modi berjalan di atas jambatan sambil mengibarkan bendera India, menandakan permulaan operasi rasmi laluan kereta api yang menghubungkan Katra ke Srinagar.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Projek ini merupakan sebahagian daripada Udhampur-Srinagar-Baramulla Rail Link sepanjang 272 kilometer, yang merangkumi 36 terowong dan 943 jambatan.

Jambatan Chenab, yang mengambil masa hampir dua dekad untuk disiapkan, dibina dengan 30,000 metrik tan keluli dan direka untuk bertahan dalam keadaan cuaca ekstrem serta gempa bumi.

Struktur ini mampu menahan kelajuan angin sehingga 260 km/j dan telah diuji untuk memastikan keselamatan operasi jangka panjang.

Menurut Modi, pembinaan jambatan ini bukan sahaja satu pencapaian kejuruteraan tetapi juga satu langkah penting dalam meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi di rantau ini.

“Jambatan ini bukan sekadar struktur besi dan konkrit, tetapi simbol kekuatan dan keazaman India.

“Kini, bukan sahaja rakyat India akan datang ke Kashmir melalui jambatan ini, tetapi jambatan ini sendiri akan menjadi tarikan pelancong,” kata Modi.

Jambatan ini akan memastikan hubungan sepanjang tahun antara Jammu dan Kashmir serta membuka peluang ekonomi baharu.

Selain meningkatkan akses kepada kawasan pergunungan yang sebelum ini hanya boleh dihubungi melalui jalan darat yang berbahaya atau udara, projek ini dijangka merangsang pelancongan dan perdagangan di rantau tersebut.

Laluan kereta api ini juga akan mengurangkan masa perjalanan antara Katra dan Srinagar kepada hanya tiga jam, berbanding lima hingga enam jam sebelum ini.

Modi turut merasmikan Jambatan Anji Khad, jambatan kereta api pertama di India yang menggunakan teknologi kabel penahan, serta melancarkan perkhidmatan kereta api Vande Bharat Express yang akan beroperasi di laluan baharu ini.

Pembinaan jambatan ini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk topografi yang sukar, cuaca ekstrem dan risiko seismik.

Namun, dengan kerjasama antara jurutera tempatan dan pakar antarabangsa, projek ini berjaya disiapkan dengan standard keselamatan tertinggi.

Dengan pembukaan jambatan ini, India kini mempunyai satu lagi mercu tanda kejuruteraan yang bukan sahaja menghubungkan wilayah-wilayah terpencil tetapi juga memperkukuh kedudukan negara dalam pembangunan infrastruktur global.









#Narendra Modi #Jambatan Kereta Api Chenab #Jammu dan Kashmir #jambatan kereta api tertinggi di dunia #Sungai Chenab