DUNIA
Jambatan tertinggi dunia dibuka di Guizhou, China

Struktur sepanjang 2,890 meter yang merentasi Huajiang Grand Canyon - digelar "retakan Bumi" - merupakan tambahan terbaharu kepada rangkaian infrastruktur China yang berkembang pesat. - Gambar/ X @CherieYingXue
GUIYANG: Jambatan tertinggi dunia dibuka kepada lalu lintas pada pagi Ahad di Wilayah Guizhou, barat daya China, sekali gus memendekkan masa perjalanan merentasi ngarai dari dua jam kepada hanya dua minit selepas tiga tahun pembinaan, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Jambatan Huajiang Grand Canyon setinggi 625 meter di Wilayah Guizhou, China dibuka kepada lalu lintas, memendekkan masa perjalanan merentasi ngarai dari dua jam kepada dua minit selepas tiga tahun pembinaan.
- Struktur sepanjang 2,890 meter ini dibina menggunakan teknologi canggih seperti navigasi satelit, dron dan bahan ultra-kuat, menjadikannya jambatan tertinggi dunia dan simbol inovasi infrastruktur China.
- Guizhou kini menempatkan hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi dunia, termasuk tiga jambatan tertinggi, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterhubungan wilayah yang sebelum ini kurang membangun.
Jambatan tertinggi dunia sebelum ini juga dibina merentasi Sungai Beipan, kira-kira 100 kilometer dari Jambatan Huajiang Grand Canyon.
Rekod terdahulu yang dibuka pada 2016 itu mempunyai ketinggian menegak 565.4 meter dari dek jambatan ke permukaan sungai.
"Jambatan baharu ini, yang akan meningkatkan keterhubungan serantau secara signifikan, adalah projek mercu tanda yang menonjolkan inovasi China," kata Ketua Jabatan Pengangkutan Wilayah, Zhang Yin.
Sejak pembinaan bermula, pasukan jurutera berjaya mengatasi pelbagai cabaran besar.
Dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti navigasi satelit, dron, sistem pemantauan pintar dan bahan berkuatan ultra-tinggi, mereka mencapai ketepatan pada paras milimeter dalam pembinaan altitud tinggi, sekali gus menukar halangan yang dahulunya sukar ditembusi menjadi koridor pengangkutan moden.
Selama ini, Guizhou -- antara wilayah paling kurang membangun di China -- telah membina lebih 30,000 jambatan di kawasan pergunungan, termasuk tiga daripada jambatan tertinggi dunia. Wilayah itu kini menempatkan hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi di dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami