DUNIA
'Jangan ingkar!' - Trump sekali lagi umum gencatan senjata, gesa Israel dan Iran patuhi perjanjian
TRUMP: Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Jangan ingkarinya! Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mengumumkan bahawa gencatan senjata di antara Israel dan Iran kini berkuat kuasa.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran berkuat kuasa selepas konflik bersenjata selama 12 hari yang meragut ratusan nyawa.
- Gencatan senjata dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Iran menghentikan operasi selama 12 jam diikuti oleh Israel, dan jika dipatuhi sepenuhnya, perang akan diumumkan tamat.
- Ketegangan masih wujud kerana Iran melancarkan serangan peluru berpandu beberapa jam sebelum pengumuman, manakala Israel belum mengesahkan persetujuan rasmi terhadap gencatan senjata tersebut.
Beliau turut menyeru kedua-dua pihak agar mematuhi perjanjian sepenuhnya bagi menamatkan konflik bersenjata yang telah meragut ratusan nyawa.
“Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Jangan ingkarinya! Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat,” tulis Trump dalam kenyataan di platform Truth Social.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Iran dan Israel atas keberanian dan kebijaksanaan mereka dalam mencapai persetujuan tersebut.
Gencatan senjata ini merupakan lanjutan kepada perjanjian terdahulu yang diumum pada 23 Jun, yang memperincikan fasa pelaksanaan selama 24 jam – bermula dengan Iran menghentikan operasi ketenteraan selama 12 jam, diikuti oleh Israel.
Sekiranya dipatuhi, perang 12 hari itu akan diumumkan tamat secara rasmi.
Namun begitu, pelaksanaan gencatan senjata ini terus dibayangi ketegangan. Beberapa jam sebelum pengumuman Trump, Iran melancarkan peluru berpandu ke atas Israel, termasuk serangan di Beersheba yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.
Dalam perkembangan terbaharu, media kerajaan Iran, Press TV, melaporkan bahawa serangan keempat — yang didakwa sebagai serangan terakhir — telah dilancarkan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.
“Gencatan senjata bermula susulan empat gelombang serangan Iran ke atas wilayah diduduki Israel,” menurut kenyataan rasmi di platform X.
Sementara itu, Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengesahkan persetujuan mereka dalam gencatan senjata baharu ini.
Beberapa pegawai kanan Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka bersedia untuk meneruskan operasi ketenteraan sekiranya Iran tidak menghentikan serangan.
Trump dilaporkan telah menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara langsung untuk memeterai perjanjian ini, manakala pegawai kanan White House berunding dengan wakil Iran melalui saluran diplomatik tidak rasmi.