DUNIA
'Jangan gugurkan bom!' - Trump beri amaran agar Israel hentikan serangan

Trump mengeluarkan amaran keras kepada Israel agar tidak meneruskan serangan udara ke atas Tehran, menyifatkannya sebagai pelanggaran besar terhadap gencatan senjata. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, mengeluarkan amaran keras kepada Israel agar tidak meneruskan serangan udara ke atas Tehran, menyifatkannya sebagai pelanggaran besar terhadap perjanjian gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada Israel agar tidak meneruskan serangan udara ke atas Tehran, menyifatkannya sebagai pelanggaran besar terhadap gencatan senjata.
- Amaran itu dibuat selepas Israel mengarahkan serangan balas ke atas Tehran, mendakwa Iran melanggar perjanjian, namun Iran menafikan dan menegaskan semua serangan telah dihentikan sebelum gencatan berkuat kuasa.
- Kenyataan Trump menandakan tekanan diplomatik dari Washington terhadap Tel Aviv, namun belum ada maklum balas rasmi daripada pejabat Perdana Menteri Israel setakat ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak perlu.
“Sekarang Israel hendak pergi serang (Iran) hanya kerana satu roket yang tidak kena apa pun,” katanya.
Trump kemudian memuat naik kenyataan sama di Truth Social, mengarahkan Israel supaya menarik balik pesawat tenteranya.
"Israel. Jangan gugurkan bom. Jika anda lakukan, ia merupakan pelanggaran besar (perjanjian gencatan senjata). Panggil balik juruterbang anda, sekarang!" tulis Trump di platform Truth Social.
Trump turut berkata bahawa beliau sedang berusaha meredakan ketegangan dan menghalang provokasi lanjut.
“Saya mahu Israel bertenang sekarang,” ujarnya.
Kecaman Trump terhadap Israel dipercayai susulan serangan udara rejim zionis itu selepas pengumuman gencatan senjata, juga serangan balas terhadap dakwaan peluru berpandu Iran selepas gencatan berkuat kuasa.
“Kita ada dua negara yang telah berperang begitu lama dan hebat sehingga mereka tak tahu apa yang mereka sedang lakukan.”
Trump dalam pada itu menegaskan bahawa beliau percaya Iran masih komited kepada keamanan.
“Saya percaya. Mereka langgar (gencatan senjata), tapi Israel pun langgar juga.
“Israel, sebaik sahaja kita metrai perjanjian itu, mereka terus menggugurkan bom dalam jumlah yang belum pernah saya lihat sebelum ini.
“Saya tidak puas hati dengan Israel. Bila saya kata anda ada 12 jam, itu bukan bermakna anda boleh serang habis-habisan pada awal waktu.
“Saya tidak gembira dengan mereka. Saya juga tidak gembira dengan Iran.
"Tapi saya sangat tidak gembira kalau Israel menyerang pagi ini hanya kerana satu roket yang tidak meletup, yang mungkin tersasar. Saya tidak gembira dengan itu.”
Kenyataan keras oleh Trump ini dilihat sebagai usaha terakhir untuk mengelakkan pergolakan berterusan melibatkan konflik bersenjata di antara Israel dan Iran.
Amaran itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan serangan balas intensif ke atas sasaran rejim di Tehran, mendakwa Iran telah melanggar gencatan senjata dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel.
Bagaimanapun, Iran menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua serangan telah dihentikan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.
Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada pejabat Perdana Menteri Israel berhubung kenyataan Trump.
Namun, kenyataan itu menandakan peningkatan tekanan diplomatik dari Washington terhadap Tel Aviv, yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran perjanjian damai.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami