[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Jangkitan HIV sering dikesan terlalu lewat di Eropah - Laporan

Bernama 27/11/2025 | 13:09 MYT
Peningkatan bilangan kes yang tidak dikesan menjejaskan matlamat untuk menghapuskan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030. - Gambar hiasan
COPENHAGEN: Jangkitan HIV di Eropah sering dikesan dan dirawat terlalu lewat, dedah satu kajian pada Khamis, dengan 54 peratus diagnosis pada 2024 dikesan terlalu lewat untuk rawatan optimum, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Laporan bersama Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dan pejabat Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu diterbitkan menjelang Hari AIDS Sedunia pada Isnin.

Peningkatan bilangan kes yang tidak dikesan menjejaskan matlamat untuk menghapuskan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030, menurut ECDC yang berpangkalan di Stockholm dan WHO Eropah yang berpangkalan di Copenhagen.

Hampir 106,000 diagnosis HIV dicatatkan di rantau WHO Eropah pada 2024, menurut laporan itu. Ini termasuk sejumlah 53 negara yang melangkaui Kesatuan Eropah (EU) hingga ke Asia Tengah.

Di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), yang merangkumi EU serta Iceland, Liechtenstein dan Norway, lebih 24,000 diagnosis direkodkan, dengan 48 peratus daripadanya adalah diagnosis lewat.

Kedua-dua badan itu menyeru ujian HIV yang lebih komprehensif dan akses lebih baik kepada kit ujian kendiri dan yakin sasaran 2030 boleh dicapai tetapi hanya jika rantau Eropah mula menutup jurang ujian itu sekarang.

Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1.3 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus imunodefisiensi manusia (Human Immunodeficiency Virus) pada 2024, yang boleh menyebabkan AIDS jika tidak dirawat.

Pada akhir 2024, 40.8 juta orang di seluruh dunia hidup dengan HIV, lebih tiga suku daripadanya mempunyai akses kepada ubat-ubatan untuk memerangi virus itu. Sekitar 630,000 orang maut akibat AIDS.

-- BERNAMA

#jangkitan #HIV #kesihatan #eropah #rawatan HIV