INTERNATIONAL

Jejak Al-Haramain: ‘Lockdown’ enam jam di Arafah dan Mina

Zaiful Mohd Ariffin 24/05/2025 | 23:10 MYT
Mohd Hisham menasihatkan jemaah haji supaya mengelakkan risiko strok haba lantaran suhu dijangka meningkat kepada 50 darjah Celsius pada hari wukuf. - Gambar Astro AWANI
MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi menyarankan semua pengendali jemaah haji negara masing-masing, melaksanakan ‘lockdown’ atau sekatan keluar masuk di khemah ketika di Arafah dan Mina.

Ini kerana, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bimbang keselamatan jemaah haji seluruh dunia, susulan cuaca panas yang semakin meningkat di Mekah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, sekatan tempoh enam jam, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang dan jemaah haji Malaysia disaran kekal di dalam khemah bagi mengelak daripada strok haba.

Katanya, cuaca panas dijangka mencecah 50 darjah Celsius pada hari wukuf di Arafah.

“Sebagaimana maklum, cuaca makin lama semakin panas, hawa makin lama makin tinggi kepanasannya.

“Kita telahpun dinasihatkan oleh Kementerian Haji dan Umrah supaya ada ‘lockdown’ di Arafah dan Mina bermula daripada pukul 10 hingga 4 petang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Petugas Haji, di sini.

Khutbah Arafah juga, katanya, akan disiarkan secara langsung pada skrin besar di dalam khemah bagi memudahkan jemaah.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan komitmen petugas haji Malaysia yang mendapat maklum balas positif daripada jemaah.

Beliau juga mengingatkan mengenai tugas berat menjelang masyair pada 5 Jun nanti.

“Tujuan perhimpunan ini adalah untuk memberi suntikan semangat dan perangsang kepada petugas untuk menghadapi operasi masyair akan berlaku tidak lama lagi.

“Kita mempunyai 12 hari sahaja lagi untuk kita bersedia bagi operasi masyair,” katanya.

Lebih 500 petugas berkhidmat dalam pelbagai sektor seperti perubatan, bimbingan ibadah, media, logistik dan makanan.

Ia bagi memastikan keselesaan jemaah haji melaksanakan rukun Islam kelima.





#jemaah haji #lockdown #wukuf di arafah #cuaca panas #keselamatan