Jemaah uzur kini boleh lakukan tawaf menaiki kenderaan elektrik

Amanz
Mac 30, 2024 05:37 MYT
EV dalam bentuk kereta golf mula disediakan khusus untuk membantu jemaah haji warga emas, uzur dan kurang upaya menunaikan ibadah di Tanah Suci. -Amanz
PIHAK Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah memperkenalkan inisiatif baharu dalam usaha memudahkan proses pelaksanaan tawaf haji.
Melaluinya kenderaan elektrik (EV) dalam bentuk kereta golf mula disediakan khusus untuk membantu jemaah haji warga emas, uzur dan kurang upaya menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Selama ini jemaah uzur ditandu atau ditolak menggunakan kerusi roda oleh pembantu.
Difahamkan bahawa EV ini telah diperkenalkan sejak permulaan bulan Ramadan dan beroperasi di bahagian bumbung Masjidil Haram.
Pembelian tiket pula boleh dibuat melalui tempat jualan tiket yang terdapat di kawasan yang sama.
Seterusnya para jemaah boleh mengaksesnya melalui pintu masuk lif Tangga Ajyad, pintu gerbang lif Raja Abdulaziz, dan lif pintu gerbang Umrah.
Sebanyak 50 kenderaan disediakan dengan ia boleh membawa 10 orang penumpang untuk setiap perjalanan.
Waktu operasinya pula dibuka selama 12 jam yang bermula dari 4 petang hingga 4 pagi setiap hari dengan bayaran sebanyak SR25 (~RM31.50).
Caj yang disebutkan tadi adalah termasuk cukai nilai tambahan untuk setiap orang. -Amanz
#umrah #warga emas #tawaf haji #EV #Tanah Suci