Skip to main content

Dunia

Jenazah Khamenei dikebumi ketika ketegangan baharu dengan AS cetus kebimbangan perang

Vehicle transports the coffin of Iran's late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei and coffins of his family members, on the day of his burial, in a culmination of a mass funeral, in Mashhad, Iran, Jul 9, 2026. (Photo: Reuters/Alkis Konstantinidis)
Kenderaan yang membawa keranda bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta keranda anggota keluarganya, dilihat pada hari pengebumiannya yang menjadi kemuncak siri upacara penghormatan besar-besaran di Mashhad, Iran, pada Khamis. - Gambar Reuters
Advertisement

MASHHAD: Iran pada Khamis mengadakan upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, lebih empat bulan selepas beliau terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel, di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik yang kembali tercetus boleh membawa kepada perang berskala penuh.

Keranda Khamenei dibawa masuk ke kawasan makam suci di bandar kelahirannya, Mashhad, di timur Iran, dalam suasana penuh emosi dengan ratusan ribu rakyat berhimpun untuk memberi penghormatan terakhir.

Bagaimanapun, anak lelaki beliau yang juga pengganti jawatan tertinggi negara itu, Mojtaba Khamenei, sekali lagi tidak kelihatan di khalayak umum sepanjang istiadat berkenaan.

Pengebumian tersebut berlangsung ketika pertempuran antara Iran dan AS memasuki hari kedua, dengan pegawai Iran melaporkan serangan udara Amerika mengorbankan 17 individu.

Media negara turut melaporkan, satu serangan menyasarkan landasan kereta api antara Tehran dan Mashhad, manakala kawasan sekitar sebuah loji tenaga nuklear Iran turut menjadi sasaran.

Tehran pula memaklumkan, ia meneruskan serangan terhadap aset dan kepentingan AS di Kuwait, Bahrain dan Qatar.

Siren amaran juga dilaporkan berbunyi di Jordan, sekutu rapat Washington, selepas tentera negara itu memintas lapan peluru berpandu yang didakwa dilancarkan dari Iran.

Khamenei terbunuh bersama beberapa anggota keluarga terdekat pada hari pertama peperangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.

Pengebumian di Mashhad menandakan hari terakhir daripada enam hari upacara penghormatan yang berlangsung di seluruh negara.

Beberapa tokoh kanan Iran termasuk Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf; Ketua Kehakiman, Gholamhossein Mohseni Ejei dan anak sulung Khamenei, Mostafa Khamenei dilihat hadir pada majlis itu.

Namun, ketiadaan Mojtaba Khamenei terus mencetuskan tanda tanya, memandangkan beliau hanya berkomunikasi menerusi kenyataan bertulis sejak diumumkan sebagai pengganti bapanya dan dilaporkan cedera dalam serangan Februari lalu.

Di sekitar Makam Imam Reza, ribuan rakyat berpakaian hitam terus memenuhi kawasan itu sehingga lewat malam sambil melaungkan slogan keagamaan dan seruan membalas dendam terhadap AS.

Sebahagian daripada mereka turut membawa sepanduk yang mengecam Presiden AS, Donald Trump.

Media kerajaan melaporkan, jasad Khamenei terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter ke kawasan pengebumian berikutan kesesakan luar biasa orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, media Iran melaporkan, AS menyasarkan kawasan berhampiran satu-satunya loji tenaga nuklear awam negara itu di Bushehr.

Sementara itu, tentera Iran mendakwa berjaya menyerang sistem pertahanan peluru berpandu Patriot di Kuwait, sistem amaran awal di Qatar serta beberapa kemudahan simpanan bahan api di Bahrain menggunakan dron.

Bagaimanapun, seorang pegawai pertahanan AS menegaskan, kebanyakan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran berjaya dipintas atau tidak menyebabkan kerosakan besar, serta tiada anggota tentera Amerika dilaporkan cedera.

Ketegangan turut meningkat apabila Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran bahawa negaranya bersedia melancarkan serangan terhadap Iran buat kali ketiga sekiranya perlu.

Beliau berkata, Israel akan bertindak dengan kekuatan yang lebih besar, manakala Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan, kerajaannya sedang membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada masa sama, Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan minyak dan gas dunia terus menjadi titik pertikaian utama.

Iran menegaskan haknya untuk mengawal laluan tersebut, manakala laporan menunjukkan trafik perkapalan di kawasan itu merosot dengan ketara susulan beberapa insiden serangan terhadap kapal-kapal dagang sejak beberapa hari kebelakangan ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement