DUNIA
Jenazah pemimpin belia Bangladesh, Osman Hadi selamat dikebumikan di Dhaka
Jenazah Osman Hadi disembahyangkan oleh ribuan warga di sebuah lapangan berdekatan kompleks Parlimen di Dhaka. - AP
NEW DELHI: Pemimpin belia Bangladesh,Sharif Osman Hadi yang ditembak di kepala dan meninggal dunia semasa menerima rawatan, selamat dikebumikan di Dhaka pada Sabtu dengan dihadiri puluhan ribu orang termasuk pemimpin kerajaan sementara, Muhammad Yunus dan pegawai kanan kerajaan dalam keadaan kawalan keselamatan ketat.
Solat jenazah diadakan di Dataran Selatan bangunan parlimen nasional, Jatiya Sangsad.
Osman Hadi, yang merupakan tokoh penting dalam Kebangkitan Julai 2024 pimpinan pelajar yang menumbangkan pemerintahan 15 tahun Sheikh Hasina, disemadikan bersebelahan pusara penyair kebangsaan Kazi Nazrul Islam di Masjid Pusat Universiti Dhaka.
Beliau ditembak di bahagian kepala oleh penyerang yang tidak dikenali di Dhaka pada 12 Dis dan menghembuskan nafas terakhir pada Khamis di sebuah hospital di Singapura, selepas dipindahkan ke sana untuk rawatan lanjut pada 15 Dis.
Menurut laporan media tempatan, antara yang menghadiri pengebumian itu termasuk Panglima Tentera Darat Jeneral Waker-Uz-Zaman, Ketua Jamaat-e-Islami Shafiqur Rahman, Penganjur Parti Warga Nasional Nahid Islam, Naib Canselor Universiti Dhaka Prof Niaz Ahmed Khan, serta pemimpin pelajar dan ahli politik.
Ketua Penasihat kerajaan sementara menyifatkan aktivis yang terkorban itu sebagai "pejuang barisan hadapan Kebangkitan Julai yang tidak gentar."
"Osman Hadi, kami datang ke sini bukan untuk mengucapkan selamat tinggal. Anda berada di dalam hati kami, dan selagi Bangladesh wujud, anda akan kekal di hati seluruh rakyat Bangladesh," kata Yunus.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengutuk pembunuhan pemuda berusia 32 tahun itu dan menggesa "satu siasatan yang segera, saksama, menyeluruh dan telus, selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa," menurut jurucakapnya Stephane Dujarric dalam taklimat media di New York pada Jumaat.
Kematian beliau mencetuskan kesedihan di seluruh Bangladesh memandangkan beliau dianggap sebagai wira dalam perjuangan menentang autoritarianisme.
Beberapa insiden keganasan dilaporkan berlaku pada Khamis malam ketika orang ramai turun ke jalanan selepas berita mengenai kematian Osman Hadi tersebar.
Anggota polis, Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) dan agensi keselamatan lain dikerahkan ke lokasi-lokasi utama di Dhaka pada Sabtu bagi mengekalkan ketenteraman awam.
-- BERNAMA