DUNIA
Jennifer Simons dilantik Presiden wanita pertama Suriname, bakal terajui negara menuju ledakan minyak

Ketua pembangkang Suriname, Jennifer Geerlings-Simons dari Parti Demokratik Nasional (NDP) meraikan kemenangan bersama para penyokong selepas mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden. - Gambar Reuters
PARAMARIBO: Parlimen Suriname secara rasmi melantik Dr Jennifer Simons sebagai Presiden wanita pertama negara Amerika Selatan itu dalam satu undian bersejarah yang membuka lembaran baharu kepimpinan nasional menjelang ledakan industri minyak yang dijangka menjana pendapatan besar.
Ringkasan AI
- Jennifer Simons dilantik sebagai Presiden wanita pertama Suriname selepas mendapat sokongan majoriti Parlimen melalui perjanjian gabungan enam parti.
- Pelantikannya berlaku ketika Suriname bersiap menghadapi ledakan ekonomi hasil projek minyak luar pesisir yang dijangka bermula pada tahun 2028.
- Simons berikrar untuk berkhidmat secara adil kepada semua rakyat, dengan memberi tumpuan kepada golongan muda dan mereka yang kurang berpeluang.
Dalam ucapan selepas pelantikan itu, Simons, 71, berkata: “Saya hadir untuk berkhidmat, dan akan menggunakan segala ilmu, kekuatan dan kebijaksanaan untuk memastikan kekayaan negara ini dapat dinikmati oleh semua rakyat.”
Beliau turut berikrar untuk memberi perhatian khusus kepada golongan muda dan mereka yang kurang mendapat peluang.
Presiden Santokhi, 66, yang gagal mempertahankan jawatan, menerima kritikan atas kelemahan melindungi golongan miskin dan rentan.
Dalam ucapan penutupnya, beliau mengakui kekurangan pentadbirannya dan menyatakan hasrat untuk terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
Suriname, bekas jajahan Belanda yang merdeka sejak 1975, dijangka menyaksikan lonjakan hasil negara melalui projek tenaga luar pesisir yang diketuai oleh TotalEnergies.
Projek Gran Morgu dijangka mula beroperasi pada tahun 2028 dengan potensi menjadikan Suriname sebagai pesaing utama kepada Guyana - yang mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 43.6 peratus tahun lalu.
Namun, kempen pilihan raya lalu kurang membincangkan strategi penggunaan hasil minyak secara menyeluruh.
Simons pernah berkhidmat sebagai Speaker Parlimen selama sedekad sehingga 2020 dan merupakan pemimpin Parti Demokratik Nasional (NDP) yang diasaskan oleh bekas Presiden Desi Bouterse.
Bouterse, tokoh dominan politik Suriname selama beberapa dekad, meninggal dunia sebagai pelarian pada tahun lalu selepas sabitan kes pembunuhan 15 pengkritik kerajaan pada 1982.
Simons dijadualkan mengangkat sumpah jawatan pada 16 Julai 2025, bersama Gregory Rusland dari Parti Nasional Suriname (NPS) sebagai Naib Presiden. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami