BANGKOK: Jepun akan menyumbang vaksin AstraZeneca COVID-19 kepada Thailand dan penghantarannya dijadual pada Julai, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul.

Awal bulan ini, Jepun telah menghantar 1.24 juta dos vaksin itu ke Taiwan dan minggu lalu satu juta dos ke Vietnam.

Thailand memulakan kempen vaksinasi pada 7 Jun lalu dan bergantung kepada vaksin AstraZeneca dihasilkan syarikat tempatan Siam Bioscience Co Ltd. Namun, terdapat beberapa kesulitan menyebabkan berlaku sedikit kelwatan dalam program vaksinasi itu.

Sementara itu, Thailand meningkatkan pengesanan kes aktif di Yala, selatan Thailand berikutan kluster yang berkait dengan Markaz Dakwah Yala.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata setakat ini, 402 kes COVID-19 telah dilaporkan di 11 wilayah yang berkait dengan kluster tersebut.

"Pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah segera untuk membendung penularan di Yala. Kami meningkatkan pengesanan kes aktif dan juga mengesan kontak untuk memutuskan rantaian COVID-19," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 3,175 kes baharu dan 29 korban, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 221,306 dan 1,658 kematian.

Daripada kes baharu itu, sejumlah 3,130 adalah jangkitan tempatan termasuk 901 melalui pengesanan kes aktif, 140 banduan, dan 45 kes import.

-- BERNAMA