Skip to main content

Dunia

Jepun bakal lancar misi pertama dunia kutip sampel bulan Marikh

Roket H3 berada di Pusat Angkasa Tanegashima di pulau Tanegashima, Wilayah Kagoshima, di barat daya Jepun. - Foto REUTERS
Roket H3 berada di Pusat Angkasa Tanegashima di pulau Tanegashima, Wilayah Kagoshima, di barat daya Jepun. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Saintis Jepun akan melancarkan kapal angkasa MMX pada Selasa untuk mengumpul sampel dari bulan Marikh, Phobos, dalam misi bersejarah dunia.
  • Misi ini dijangka membantu merungkai asal-usul Sistem Suria dan menyediakan asas penerokaan Marikh oleh manusia pada masa hadapan.
  • MMX akan bekerjasama dengan agensi angkasa AS dan Eropah, serta turut melakukan pemerhatian terhadap Deimos tanpa mendarat di permukaannya.

TOKYO: Saintis Jepun bakal melancarkan sebuah kapal angkasa pada Selasa dalam misi bersejarah untuk menjadi yang pertama di dunia membawa pulang sampel dari salah satu bulan Marikh.

Misi itu dijangka dapat membantu saintis merungkai persoalan mengenai asal-usul Sistem Suria serta kehidupan di Bumi.

Menurut Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA), roket utama H3 yang membawa prob tanpa pemandu Martian Moons eXploration (MMX) dijadual berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima pada pukul 4.41 pagi waktu tempatan.

Jika berjaya, kapal angkasa itu akan tiba berhampiran Marikh sekitar Ogos tahun depan sebelum memasuki orbit Phobos, salah satu daripada dua bulan planet berkenaan.

MMX kemudiannya dijadual mendarat di Phobos dan mengumpul sekurang-kurangnya 10 gram bahan dari permukaannya sepanjang tempoh tiga tahun yang dirancang berada di sekitar Planet Merah itu.

Misi tersebut menyasarkan untuk menjadi perjalanan pergi dan balik pertama ke rantau Marikh dan dilaksanakan dengan kerjasama agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) serta Eropah, selain beberapa universiti dan syarikat teknologi.

Pihak yang terlibat berharap misi itu akan membantu menyediakan asas kepada penerokaan Marikh oleh manusia pada masa hadapan.

JAXA juga berharap MMX dapat membantu menjelaskan bagaimana Marikh dan dua bulannya, Phobos dan Deimos, terbentuk, sekali gus memberikan petunjuk penting untuk memahami pembentukan Sistem Suria.

Antara teori mengenai asal-usul bulan Marikh ialah hipotesis “hentaman gergasi”, yang mencadangkan kedua-duanya terbentuk selepas sebuah objek cakerawala berlanggar dengan Marikh.

Satu lagi teori dikenali sebagai hipotesis “tangkapan”, yang mencadangkan Phobos dan Deimos sebenarnya merupakan asteroid yang ditarik masuk oleh graviti Marikh.

Menurut JAXA, menentukan teori yang tepat boleh membantu saintis memahami bagaimana persekitaran yang sesuai untuk kehidupan mungkin terbentuk di planet berbatu dalam Sistem Suria.

Planet tersebut merangkumi empat planet yang paling hampir dengan Matahari iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh.

Phobos sebagai 'stesen angkasa semula jadi'

Misi MMX turut akan meneroka kemungkinan Phobos digunakan sebagai “stesen angkasa semula jadi” dengan mengenal pasti keperluan bagi perjalanan pergi dan balik ke bulan berkenaan.

Menurut JAXA, keupayaan itu dianggap penting bagi penerokaan Marikh melibatkan manusia pada masa hadapan.

Kapal angkasa MMX juga akan melakukan pemerhatian terhadap Deimos, bulan Marikh yang satu lagi, namun tidak akan mendarat di permukaannya.

AS dan China turut bersaing untuk menjadi negara pertama membawa pulang sampel batuan dari permukaan Marikh ke Bumi.

Rover Perseverance milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan AS (NASA), yang meneroka permukaan Marikh sejak 2021, sudah mengumpul beberapa sampel.

Bagaimanapun, misi untuk membawa pulang sampel tersebut dilaporkan telah dibatalkan susulan keputusan pentadbiran Presiden AS Donald Trump selepas pengundian di Kongres pada Januari.

China pula merancang melancarkan kapal angkasa Tianwen-3 sekitar 2028 dengan sasaran membawa pulang sampel dari Marikh ke Bumi seawal 2031, yang berpotensi berlaku sebelum kepulangan misi Jepun.

 

 

Must Watch Video

Advertisement