Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Jepun berjaya lancar kapal angkasa kargo tanpa juruterbang ke ISS

Bernama 26/10/2025 | 10:22 MYT
Kapal angkasa HTV-X mempunyai kapasiti muatan maksimum sebanyak enam tan, iaitu lebih 1.5 kali ganda berbanding kapal angkasa terdahulu, Kounotori. - NASA
TOKYO: Jepun berjaya melancarkan kapal angkasa kargo tanpa pemandu terbaharunya pada Ahad menggunakan roket pelancar H3 dari sebuah pusat angkasa di pulau barat daya negara itu bagi menghantar bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor Agensi Berita Kyodo.

Kapal angkasa HTV-X itu mempunyai kapasiti muatan maksimum sebanyak enam tan, iaitu 1.5 kali ganda lebih besar berbanding kapal angkasa terdahulu, Kounotori, yang pernah menghantar bekalan ke ISS sebanyak sembilan kali antara 2009 dan 2020, menurut Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).

Kapal angkasa itu dijangka tiba di ISS pada Khamis ini dan akan kekal di situ selama enam bulan sebelum melakukan penerbangan orbit untuk menjalankan ujian demonstrasi teknologi selama tiga bulan.

Pelancaran di Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, yang pada asalnya dijadualkan pada Selasa lepas, terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Dengan fungsi bekalan kuasa yang baharu ditambah, HTV-X kini mampu membawa sampel eksperimen yang perlu disimpan pada suhu rendah semasa penghantaran.

Dua penggalak tambahan turut dipasang pada roket H3, yang kini dilengkapi dengan dua enjin utama dan empat penggalak. Jepun menyasarkan untuk memenuhi permintaan pelanggan pada masa depan dengan keupayaan membawa pelbagai satelit dalam satu roket yang dilancarkan.

-- BERNAMA

#Jepun #kapal angkasa kargo #ISS #HTV-X #kounotori #penghantaran bekalan