Jepun catat lebih 31 juta pelancong, rekod terpantas capai 30 juta

Jumlah perbelanjaan pelawat asing bagi penginapan, membeli-belah dan lain-lain keperluan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini mencecah rekod 6.9 trilion yen (AS$45.5 bilion). - Gambar hiasan
TOKYO: Jumlah pelawat asing ke Jepun dari Januari hingga September meningkat 17.7 peratus berbanding tahun lalu kepada sekitar 31.65 juta orang, menandakan kadar terpantas pernah dicatat untuk melepasi angka 30 juta dalam tempoh setahun, kata kerajaan pada Rabu, susulan kejatuhan nilai yen dan lonjakan pelancong dari China.
Menurut Agensi Berita Kyodo, jumlah tahunan dijangka mengatasi rekod 36.87 juta pelawat pada 2024 dan mungkin mencecah lingkungan 40 juta, berdasarkan data Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO).
Jumlah perbelanjaan pelawat asing bagi penginapan, membeli-belah dan lain-lain keperluan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini mencecah rekod 6.9 trilion yen (AS$45.5 bilion).
Dengan peningkatan jumlah pelancong, masalah pelancongan berlebihan menjadi isu di kawasan bandar, menjadikannya satu keutamaan mendesak untuk mengagihkan pelawat ke kawasan luar bandar dan meningkatkan kapasiti penginapan.Mengikut negara dan wilayah, China mencatatkan jumlah pelawat tertinggi dengan sekitar 7.49 juta orang, meningkat 42.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, diikuti Korea Selatan sekitar 6.79 juta (naik 5.0 peratus) dan Taiwan sekitar 5.04 juta (naik 9.8 peratus), menurut JNTO.
Jumlah pelawat asing pada bulan September sahaja meningkat 13.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada sekitar 3.27 juta, menjadikannya kali pertama angka tersebut melepasi tiga juta bagi bulan itu.
Walaupun kadar pertumbuhan bulanan menurun ke angka satu digit pada awal tahun ini berikutan khabar angin mengenai kemungkinan bencana alam besar pada musim panas, ia kembali meningkat ke dua digit pada Ogos dan September.
Perbelanjaan purata setiap pelawat dalam suku hingga September ialah 219,428 yen, menurun 0.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan pelawat dari Jerman mencatat perbelanjaan tertinggi iaitu 435,512 yen, diikuti Britain (360,054 yen) dan Sepanyol (354,793 yen).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami