TOKYO: Sektor penjagaan warga emas di Jepun menghadapi cabaran yang semakin meningkat dengan tahun 2023 mencatatkan rekod penutupan tertinggi perniagaan itu, menurut laporan penyelidikan, lapor Xinhua.

Terdapat 510 penutupan, penggantungan atau pembubaran dalam sektor kebajikan dan penjagaan warga emas pada tahun lepas, jumlah tertinggi sejak permulaan tinjauan pada 2010.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Tokyo Shoko Research Ltd, sebuah syarikat penyelidikan kredit tempatan sebanyak 122 kebankrapan dicatatkan dalam sektor kebajikan dan penjagaan warga emas dalam tempoh itu.

Tahap kedua tertinggi walaupun mengalami penurunan 14.6 peratus berbanding angka pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, terdapat 67 kebankrapan dalam subsektor perkhidmatan penjagaan rumah, mengatasi rekod sebelumnya.

Menurut tinjauan itu punca utama kebankrapan adalah kemerosotan jualan yang sering dikaitkan dengan persaingan dengan pemain utama dan kekurangan tenaga kerja sekali gus mengakibatkan penurunan pengguna.

Dari segi bilangan pekerja pula, lebih 80 peratus perniagaan mempunyai kurang daripada 10 pekerja dengan jumlah kebankrapan tertinggi iaitu 75 berlaku dalam kalangan perniagaan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Menurut tinjauan itu, kira-kira 600 perniagaan penjagaan keluar daripada pasaran pada setiap tahun, terutamanya pengendali berskala kecil yang menghadapi prospek yang tidak menentu dan masalah kewangan.

Industri penjagaan warga emas bukan sahaja bergelut dengan kekurangan pengasuh dan cabaran dari populasi yang menua, terdapat juga persaingan sengit untuk bakat daripada industri lain, khususnya perniagaan katering.

Dengan syarikat insurans dan dana utama mula menceburi sektor penjagaan, tahun 2024 dijangka menyaksikan lagi lonjakan dalam kebankrapan dan penutupan perniagaan kecil dan sederhana.

-- BERNAMA