Skip to main content

Dunia

Jepun lanjut tempoh pembinaan kemudahan antikeganasan di loji nuklear

71693140241_TBlojifukushima.jpg
Badan kawal selia mewajibkan kemudahan antikeganasan yang merangkumi bilik kawalan, pam dan peralatan lain selepas bencana loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011. -Gambar fail
Advertisement

TOKYO: Badan kawal selia nuklear Jepun pada Rabu berkata ia akan menyemak peraturan dan melanjutkan tempoh pembinaan kemudahan antikeganasan di loji jana kuasa nuklear, dengan tempoh lima tahun yang bermula daripada tarikh operasi loji, bukan tarikh kelulusan perancangan dan pembinaan, lapor Kyodo News.

Langkah oleh Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear itu, dilihat sebagai pelonggaran sekatan, akan membolehkan reaktor No. 2 di loji nuklear Onagawa, Wilayah Miyagi, terus beroperasi. 

Reaktor itu sebelum ini dijangka ditutup kerana gagal memenuhi tarikh akhir pembinaan pada Disember tahun ini.

Walaupun 12 loji nuklear di negara itu mempunyai kemudahan antikeganasan, hanya unit No. 4 di loji nuklear Oi, Wilayah Fukui, berjaya menyiapkannya dalam tempoh asal yang ditetapkan.

Badan kawal selia itu menyediakan draf pindaan pada Jun dan mendapatkan pandangan awam, namun menerima kritikan bahawa kemudahan berkenaan sepatutnya disiapkan sebelum loji nuklear mula beroperasi dan pihak berkuasa didakwa tunduk kepada syarikat tenaga.

Pindaan itu akan terpakai kepada loji yang masih belum memenuhi tarikh akhir masing-masing.

Badan kawal selia mewajibkan kemudahan antikeganasan yang merangkumi bilik kawalan, pam dan peralatan lain selepas bencana loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011. 

Kemudahan itu direka untuk menangani insiden termasuk serangan udara yang disasarkan.

Sebelum pindaan itu, loji yang gagal menyiapkan kemudahan berkenaan sebelum tarikh akhir perlu ditutup tanpa mengira sama ada ia telah memulakan semula operasi.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement