Skip to main content

Dunia

Jepun larang penggunaan bank kuasa dalam pesawat mulai April

71765016228_PowerbankBurn.jpg
Langkah tersebut diambil bagi meminimumkan risiko kebakaran akibat kegagalan haba bateri litium-ion yang telah mencatatkan peningkatan insiden di ruang udara. -Gambar hiasan

TOKYO: Jepun akan menguatkuasakan larangan penggunaan bank kuasa (power bank) di dalam pesawat bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsa bermula April depan atas faktor keselamatan.

Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) Jepun dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa langkah tersebut diambil bagi meminimumkan risiko kebakaran akibat kegagalan haba bateri litium-ion yang telah mencatatkan peningkatan insiden di ruang udara.

Advertisement

Menurut peraturan baharu itu, penumpang tidak lagi dibenarkan menggunakan bank kuasa untuk mengecas sebarang peranti elektronik seperti telefon pintar atau tablet sepanjang tempoh penerbangan, lapor Japan Today.

Selain itu, tindakan mengecas semula bank kuasa tersebut menggunakan soket atau port USB yang disediakan di dalam kabin pesawat juga dilarang sama sekali.

Walaupun penggunaan dilarang, penumpang masih dibenarkan membawa bank kuasa di dalam bagasi kabin dengan had maksimum dua unit bagi setiap individu, namun peranti tersebut mesti dipastikan berada dalam keadaan tidak aktif atau dimatikan.

Bagaimanapun, bagi bank kuasa yang mempunyai kapasiti melebihi 160 watt-jam (Wh), pihak berkuasa menegaskan bahawa peranti berkenaan kekal dilarang daripada dibawa masuk ke dalam pesawat, sama ada melalui bagasi berdaftar mahupun bagasi kabin.

Langkah ini dilihat sebagai pengukuhan kepada garis panduan keselamatan sedia ada dan selaras dengan cadangan global daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Syarikat penerbangan utama seperti Japan Airlines (JAL) dan All Nippon Airways (ANA) dijangka mula melaksanakan pemeriksaan lebih ketat dan mengemas kini prosedur operasi mereka menjelang tarikh pelaksanaan tersebut bagi menjamin keselamatan penumpang.
 

Must Watch Video