Jepun, negara Asia Tengah setuju usahakan bekalan sumber yang stabil

Takaichi berkata, situasi antarabangsa telah berubah secara drastik, dan kepentingan rantau ini semakin meningkat sebagai laluan perdagangan yang menghubungkan Asia dan Eropah. - Foto REUTERS
TOKYO: Jepun dan lima negara Asia Tengah bersetuju pada Sabtu untuk membangunkan laluan pengangkutan yang menghubungkan rantau itu dengan Eropah tanpa melalui Rusia, bertujuan memastikan bekalan mineral kritikal dan tenaga yang stabil, lapor Agensi Berita Kyodo.
Tokyo menjadi tuan rumah sidang kemuncak sulung bersama Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan pada ketika Rusia dan China sedang giat memperluas pengaruh perdagangan serta ekonomi mereka di rantau yang kaya dengan sumber itu.
Dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi, Jepun dan kelima-lima negara berkenaan menerima pakai "Deklarasi Tokyo" yang memberi tumpuan kepada penyahkarbonan, pemudah cara logistik dan kerjasama dalam pembangunan modal insan.
"Situasi antarabangsa telah berubah secara drastik, dan kepentingan rantau ini semakin meningkat sebagai laluan perdagangan yang menghubungkan Asia dan Eropah," kata Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada permulaan mesyuarat itu.
"Laluan Laut Caspian" itu bertujuan menyediakan bekalan mineral kritikal yang stabil termasuk logam nadir, serta sumber tenaga seperti minyak dan gas asli.
Sidang kemuncak itu pada asalnya dirancang pada Ogos 2024 di Kazakhstan, namun ditangguhkan selepas Perdana Menteri ketika itu, Fumio Kishida membatalkan lawatannya susulan amaran mengenai kemungkinan berlakunya gempa bumi besar di sebahagian besar wilayah Jepun.
Takaichi memberitahu pemberita selepas perjumpaan itu bahawa Jepun merancang untuk melancarkan projek perniagaan baharu bernilai keseluruhan 3 trilion yen (AS$19 bilion) di Asia Tengah dalam tempoh lima tahun, selain bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
"Asia Tengah mempunyai kepentingan dan potensi besar dari segi kepentingan geopolitik, keselamatan ekonomi dan peluang perniagaan yang saling menguntungkan. Saya gembira kerana lebih 150 dokumen sektor awam dan swasta telah ditandatangani sempena majlis ini," katanya.
Sejak melancarkan rangka kerja dialog dengan lima bekas republik Soviet itu pada 2004 - lebih awal daripada China, Rusia dan Amerika Syarikat - Jepun telah mengadakan 10 mesyuarat peringkat menteri luar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


