DUNIA
Jepun rancang bawa keluar 90 rakyat dan ahli keluarga dari Iran melalui jalan darat

Warga Jepun dijangka keluar dari ibu negara Iran menaiki bas menuju ke negara jiran, Azerbaijan. - Foto fail/REUTERS
TOKYO: Jepun merancang untuk memindahkan kira-kira 90 rakyatnya dan ahli keluarga mereka dari Iran melalui jalan darat seawal Khamis, menurut sumber kerajaan, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan tercetusnya konflik lebih besar antara Tehran dan Tel Aviv.
Menurut agensi berita Kyodo, warga Jepun dijangka keluar dari ibu negara Iran menaiki bas menuju ke negara jiran, Azerbaijan, memandangkan lapangan terbang telah ditutup. Kerajaan Jepun juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar pesawat pengangkut Pasukan Pertahanan Diri ke pangkalannya di Djibouti, Afrika Timur untuk bersiap sedia.
Pemindahan rakyat Jepun dari Israel ke Jordan melalui jalan darat turut sedang diatur, menurut sumber berkenaan pada Rabu.
Pada Jumaat, Israel mula melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan beberapa lokasi lain di Iran, yang dianggap musuh serantaunya dan dituduh sedang membangunkan senjata nuklear. Serangan itu mencetuskan tindak balas balas dari Iran.Ketegangan terus memuncak susulan laporan media yang menyatakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk menyertai serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran.
Pada Selasa, Jepun menaikkan tahap amaran perjalanan ke seluruh Iran ke Tahap 4, iaitu yang tertinggi dengan menasihatkan rakyatnya supaya meninggalkan negara itu dan mengelak daripada melakukan sebarang perjalanan.
Kira-kira 280 rakyat Jepun berada di Iran ketika ini, menurut Kementerian Luar Jepun. Pemindahan akan dilaksanakan bagi mereka yang berhasrat untuk meninggalkan negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami