[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
DUNIA

Jepun rekod 42.7 juta pelawat asing pada 2025

Bernama 20/01/2026 | 15:15 MYT
Jepun akan "melaksanakan promosi pelancongan Jepun secara strategik" ketika kemasukan pelawat yang semakin pelbagai terutamanya dengan peningkatan ketibaan dari Australia, Eropah dan Amerika Syarikat. - Gambar hiasan/Pixabay.com
TOKYO: Jumlah pelawat asing ke Jepun mencapai anggaran rekod 42.7 juta orang pada 2025, menurut kerajaan pada Selasa, dengan perbelanjaan mereka turut mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 9.5 trilion yen (US$60.1 bilion), didorong oleh kelemahan nilai yen dan peningkatan penerbangan ke Jepun.


Ringkasan AI
  • Jumlah pelawat asing ke Jepun dijangka mencapai rekod 42.7 juta orang pada 2025 dengan perbelanjaan mereka mencecah 9.5 trilion yen, dipacu oleh kelemahan nilai yen dan peningkatan penerbangan ke negara tersebut.
  • Terdapat penurunan 45 peratus pelancong dari China pada Disember berbanding tahun sebelumnya, menimbulkan kebimbangan mengenai trend kemasukan pelawat pada tahun 2026.
  • Hubungan tegang antara Tokyo dan Beijing berpotensi memberi kesan terhadap sektor pelancongan Jepun, dengan China menggesa rakyatnya untuk tidak melawat Jepun dan beberapa syarikat penerbangan mengurangkan perkhidmatan di laluan Jepun-China.


Bagaimanapun, angka awal turut menunjukkan penurunan 45 peratus pelancong dari China pada Disember berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada 330,000 orang, lapor Kyodo News memetik Menteri Pelancongan Yasushi Kaneko pada sidang medianya.

Penurunan itu berlaku ketika pertikaian berterusan antara Jepun dan China dijangka memberi kesan kepada trend kemasukan pelawat pada 2026.

Kemerosotan jumlah pelawat dari China merupakan penurunan pertama sejak Januari 2022 semasa pandemik COVID-19 dan kerajaan sedang memantau situasi berkaitan pelawat dari China, kata Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan.

Secara keseluruhan, jumlah pelawat melepasi 40 juta buat pertama kali, dengan anggaran keseluruhan kira-kira 6 juta orang lebih tinggi berbanding 2024.

Kaneko berkata Jepun akan "melaksanakan promosi pelancongan Jepun secara strategik" ketika kemasukan pelawat yang semakin pelbagai terutamanya dengan peningkatan ketibaan dari Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Hubungan antara Tokyo dan Beijing dilaporkan semakin tegang sejak kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada awal November mengenai kemungkinan krisis Taiwan mencetuskan kemarahan China, menurut Kyodo.

Kesan daripada ketegangan itu termasuk langkah ekonomi oleh China, antaranya menggesa rakyatnya daripada melawat Jepun, selain beberapa syarikat penerbangan mengurangkan penerbangan di laluan Jepun-China.

Walaupun kerajaan Jepun menetapkan sasaran menarik 60 juta pelawat asing setahun menjelang 2030, beberapa destinasi pelancongan popular kini berdepan masalah seperti kesesakan melampau dan salah laku segelintir pelancong.

Bagi menangani cabaran akibat lonjakan pelancongan masuk, Jepun akan menaikkan cukai pelancong antarabangsa yang dikenakan ke atas semua pelancong yang meninggalkan Jepun iaitu sebanyak tiga kali ganda kepada 3,000 yen mulai Julai, katanya.

-- BERNAMA



#COVID-19 #pelancongan #paras tertinggi #kesesakan melampau