DUNIA

Jepun sasar rundingan tarif di AS minggu depan sebelum tarikh akhir 1 Ogos

Bernama 19/07/2025 | 20:45 MYT
Lawatan ke AS bagi rundingan tarif ini merupakan yang pertama bagi Ryosei Akazawa dalam tempoh tiga minggu. - Gambar AP
OSAKA: Ketua perunding tarif Jepun, Ryosei Akazawa berkata, beliau bercadang untuk melawat Amerika Syarikat (AS) seawal minggu depan bagi pusingan kelapan rundingan perdagangan, sebelum tarif sebanyak 25 peratus terhadap Jepun berkuat kuasa pada 1 Ogos, lapor Agensi Berita Kyodo.

"Saya mahu terus berusaha mencari titik persamaan yang boleh dipersetujui kedua-dua pihak," kata Akazawa kepada pemberita di Ekspo Dunia di Osaka, semasa beliau mengiringi Setiausaha Perbendaharaan, AS Scott Bessent, yang juga rakan sejawatnya dalam rundingan itu.

Lawatan ke AS bagi rundingan tarif ini merupakan yang pertama bagi Akazawa dalam tempoh tiga minggu, dan bakal diadakan sejurus selepas pilihan raya Dewan Kaunselor Jepun pada Ahad, yang blok pemerintah dijangka berdepan kemungkinan kehilangan majoriti susulan ketidakpuasan rakyat terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat.

Akazawa berkata, beliau dan Bessent telah "mengukuhkan kepercayaan" antara satu sama lain sepanjang lawatan Bessent sebagai ketua delegasi presiden ke ekspo tersebut.

Walaupun tiada rundingan rasmi mengenai tarif diadakan, Akazawa enggan mengulas sama ada mereka telah bertukar pandangan mengenai isu tersebut.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba memaklumkan, Bessent telah menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua pihak boleh mencapai satu perjanjian "yang baik" dalam pertemuan selama kira-kira 30 minit di pejabat Perdana Menteri.

Jepun sebelum ini berdepan kesukaran untuk mendapatkan kelonggaran tarif daripada AS, dengan Presiden AS, Donald Trump berkata awal minggu ini bahawa mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir 1 Ogos mungkin sukar.

Selepas tujuh lawatan Akazawa ke AS dan kegagalan mencapai kata sepakat dalam pertemuan antara Trump dan Ishiba pada Sidang Kemuncak G7 pertengahan Jun lalu, Washington telah memaklumkan Tokyo mengenai rancangan mengenakan tarif 25 peratus menerusi surat pada awal Julai.

Antara langkah tarif yang telah dilaksanakan oleh Trump dan menjadi halangan utama dalam rundingan dua hala ialah levi 25 peratus ke atas import kenderaan ke AS, yang dilihat memberi tamparan hebat kepada sektor automotif Jepun yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonominya.

-- BERNAMA




#rundingan tarif #Jepun #Ryosei Akazawa #Amerika Syarikat #1 Ogos