DUNIA

Jepun tangguh iktiraf kenegaraan Palestin – Menteri Luar

Bernama 19/09/2025 | 21:15 MYT
Jepun memutuskan untuk menangguhkan pengiktirafan kenegaraan bagi Palestin ketika pemimpin dunia dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) minggu depan.
TOKYO: Jepun memutuskan untuk menangguhkan pengiktirafan kenegaraan bagi Palestin ketika pemimpin dunia dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) minggu depan, kata Menteri Luar, Takeshi Iwaya pada Jumaat.

"Kami membuat keputusan secara menyeluruh mengenai apa yang benar-benar boleh membawa kepada penyelesaian konflik," katanya pada sidang akhbar, sambil menambah bahawa pengiktirafan pada ketika ini tidak akan membantu mencapai gencatan senjata segera, lapor Kyodo News.

Keputusan itu dibuat menjelang satu persidangan antarabangsa di New York pada Isnin berhubung cadangan penyelesaian dua negara, yang dijadual dihadiri Iwaya.

Beliau menegaskan, Jepun menyokong penyelesaian dua negara, dengan menyatakan persoalannya bukan sama ada Jepun akan mengiktiraf Palestin tetapi bila.

Ditanya sama ada keputusan itu semata-mata untuk mengikut Washington, beliau menjawab: "Itu tidak benar. Kami membuat keputusan atas inisiatif sendiri."

Kira-kira 150 negara telah pun mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Jepun sebelum ini mengkritik kempen ketenteraan Israel dengan memberi amaran bahawa ia boleh menjejaskan asas kepada penyelesaian dua negara.

"Negara kami sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan unilateral Israel seperti peluasan operasi ketenteraan termasuk serangan darat di Bandaraya Gaza, sekatan bantuan kemanusiaan serta langkah merampas Tebing Barat," kata Iwaya.

Iwaya mendedahkan, beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Israel dan Palestin mengenai keputusan Jepun itu.

Dalam perbualan dengan Menteri Luar Israel, Gideon Saar, beliau menggesa gencatan senjata segera.

Semua pilihan masih terbuka, termasuk sekatan terhadap Israel dan pengiktirafan Palestin, sekiranya keadaan tidak bertambah baik, kata beliau.

-- BERNAMA




#iktiraf Palestin #Jepun tangguh iktiraf #kenegaraan Palestin #israel serang gaza #Menteri Luar Jepun