Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Jepun timbang peranan dalam jaminan keselamatan Ukraine

Bernama 20/08/2025 | 02:20 MYT
ISHIBA: Kami akan memainkan peranan sewajarnya dengan mempertimbangkan apa yang boleh dan sepatutnya dilakukan dalam kerangka undang-undang serta keupayaan kami. - Gambar fail/REUTERS
TOKYO: Jepun akan mempertimbangkan peranannya dalam menyediakan jaminan keselamatan kepada Ukraine dengan mengambil kira kekangan undang-undang serta kemampuan negara itu, kata Perdana Menteri Shigeru Ishiba pada Selasa, ketika rundingan yang diterajui Amerika Syarikat bagi menamatkan perang Rusia masih berlangsung.

Menurut agensi berita Kyodo, Ishiba membuat kenyataan itu selepas Setiausaha Agung NATO Mark Rutte memberitahu sebuah rangkaian televisyen Amerika bahawa Jepun adalah antara 30 negara yang sedang berusaha membentuk jaminan untuk menghalang pencerobohan Rusia pada masa depan.

"Kami akan memainkan peranan sewajarnya dengan mempertimbangkan apa yang boleh dan sepatutnya dilakukan dalam kerangka undang-undang serta keupayaan kami.

"Buat masa ini, kami belum dapat menyatakan secara khusus apa yang akan dilakukan," kata Ishiba kepada pemberita.

Perlembagaan Jepun yang menolak peperangan hanya membenarkan penggunaan kekuatan untuk pertahanan diri, sekali gus mengehadkan operasi di luar negara.

Pasukan Pertahanan Jepun sebelum ini pernah terlibat dalam misi pengaman dan anti lanun.

Ishiba turut memuji usaha Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menggerakkan rundingan damai bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky serta pemimpin Eropah yang menyokong beliau pada Isnin.

Trump mencadangkan satu pertemuan tiga pihak dengan Zelensky dan Presiden Rusia Vladimir Putin.

"Apa yang penting adalah mencapai gencatan senjata awal serta keamanan yang adil," kata Ishiba sambil menekankan keperluan menghentikan penderitaan rakyat Ukraine dan Rusia yang menjadi mangsa perang.

-- BERNAMA


#Jepun #Shigeru Ishiba #konflik Rusia-Ukraine #Amerika Syarikat