DUNIA

Jerebu: 16 suspek dikenal pasti kes kebakaran hutan, tanah di Riau

Bernama 22/07/2025 | 08:22 MYT
Kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan semua daerah dan bandar di Riau, dengan Bengkalis dan Kampar paling teruk terjejas. - Gambar/ Bernama
JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia telah mengenal pasti 16 individu sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah yang disyaki sengaja dilakukan, ketika negara itu bergelut menangani peningkatan kejadian kebakaran di beberapa wilayah.


Ringkasan AI
  • Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia mengenal pasti 16 suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah yang disyaki dilakukan secara sengaja, dengan 11 lagi kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang sedang dijalankan.
  • Kebakaran telah menjejaskan 12 kawasan di Riau termasuk Bengkalis dan Kampar yang paling teruk terjejas, melibatkan lebih 100 hektar tanah terbakar, manakala kawasan lain seperti Rokan Hilir, Siak dan Indragiri Hilir turut mengalami kerosakan melebihi 50 hektar.
  • Usaha pemadaman dipertingkatkan dengan penambahan lima helikopter pengebom air, dua helikopter peronda, peralatan khas dan motosikal untuk pasukan darat, serta penambahan anggota tentera dan polis dari Riau bagi memastikan tindak balas yang terkoordinasi.


Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata 11 lagi kes masih dalam siasatan, dengan semua proses perundangan dijalankan mengikut undang-undang negara.

Beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan seiring dengan operasi pemadaman kebakaran bagi memastikan tindak balas yang menyeluruh dan terkoordinasi.

"Pasukan petugas undang-undang telah mengambil tindakan dengan menamakan 16 suspek. Seiring dengan pemadaman kebakaran, operasi penguatkuasaan undang-undang memastikan tindak balas yang terkoordinasi," katanya dalam kenyataan.

Suharyanto menyatakan bahawa kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan semua daerah dan bandar di Riau, dengan Bengkalis dan Kampar paling teruk terjejas, dengan lebih 100 hektar tanah terbakar di kedua-dua kawasan itu.

Secara keseluruhan, 12 kawasan telah terjejas, termasuk Rokan Hilir, Siak dan Indragiri Hilir, dengan lebih 50 hektar musnah dalam kebakaran, tambahnya.

Bagi memperkukuh usaha pemadaman kebakaran, beliau berkata dua helikopter peronda telah dikerahkan manakala jumlah helikopter pengebom air ditambah kepada lima.

Pasukan darat turut diperkukuh dengan peralatan tambahan dan motosikal khas bagi pemadaman kebakaran hutan, selain penambahan anggota tentera dan polis dari Riau, katanya.

-- BERNAMA


#jerebu #Riau #punca kebakaran #suspek bakar hutan