Asia Tenggara diberikan jaminan ‘kemungkinan sifar’ bagi bencana jerebu kembali menghantui kesejahteraan penduduknya, seperti yang terjadi pada tahun 2015.

Jaminan itu dinyatakan oleh ketua Agensi Pemuliharaan Gambut Indonesia, Nazir Foead, seperti yang dilaporkan oleh portal berita ChannelNewsAsia.com.

Semua itu melibatkan usaha berterusan pihak pemerintah republik itu, syarikat minyak sawit dan kertas, serta komuniti setempat mengambil langkah bagi memastikan kebakaran tidak merebak di kawasan tanah gambut.

Nazir berkata demikian di sebuah majlis dialog Sumber Mapan Sedunia di Singapura pada Jumaat.

Agensi tersebut ditubuhkan pada Januari oleh Presiden Indonesia Joko Widodo untuk memulihara kira-kira 2 juta hektar tanah gambut yang telah musnah dalam kebakaran.

Ia merupakan langkah pemerintah Indonesia untuk mengekang sebarang kejadian seumpamanya daripada berlaku lagi.

Laporan berita itu turut menyatakan, selain usaha pemetaan yang lebih terperinci, agensi berkenaan juga menggesa syarikat-syarikat terlibat supaya memainkan peranan dalam memulihara tanah gambut.

Usaha pemuliharaan itu termasuk melembapkan semula kawasan tanah gambut yang kaya dengan karbon, yang selama ini mudah terbakar apabila kering.

Agensi berkenaan akan membina empangan dan terusan untuk meningkatkan paras air di kawasan tanah gambut, selain mengenal pasti jenis tumbuhan yang boleh ditanam di kawasan itu.