Skip to main content

Dunia

Jerebu akibat kebakaran hutan di Kalimantan merebak hingga ke ibu negara Indonesia

Seorang wanita menolak kereta sorong bayi di sebuah taman ketika jerebu akibat kebakaran hutan menyelubungi bandar Medan, Sumatera Utara, Indonesia. - Foto AP
Seorang wanita menolak kereta sorong bayi di sebuah taman ketika jerebu akibat kebakaran hutan menyelubungi bandar Medan, Sumatera Utara, Indonesia. - Foto AP

Advertisement

JAKARTA: Asap akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan merebak hingga ke Jakarta, mendorong agensi meteorologi Indonesia menasihatkan penduduk supaya mengehadkan aktiviti luar, kata seorang pegawai pada Jumaat, lapor Xinhua.

Imej satelit menunjukkan asap merebak merentasi Kalimantan dan Sumatera, serta sampai ke Banten, Jawa Barat dan Jakarta, menurut Guswanto, seorang pegawai kanan agensi berkenaan, yang mengingatkan bahawa masih belum dapat dipastikan sama ada asap itu menjejaskan kualiti udara di permukaan bumi.

Sehingga tengah hari Jumaat, kepekatan zarah halus PM2.5 di daerah Kemayoran, Jakarta, mencecah 67.5 mikrogram bagi setiap meter padu, iaitu paras yang dikategorikan sebagai tidak sihat oleh agensi itu.

Guswanto menasihatkan penduduk agar mengelakkan aktiviti senaman di luar rumah dan memakai pelitup muka. Beliau turut menjelaskan bahawa risiko sebenar terhadap kesihatan bergantung pada pengukuran kualiti udara, bukannya imej satelit semata-mata.

Kebakaran hutan bermusim yang diburukkan lagi tahun ini oleh keadaan kering berkaitan fenomena El Nino yang kuat berulang kali menyebabkan jerebu tebal melanda Indonesia dan negara jiran.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement