Skip to main content

Dunia

Jerebu: Indonesia rekod 354 titik panas, kualiti udara kekal membimbangkan

Sumatera Selatan mencatatkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 132, meningkat daripada 122 pada Khamis, manakala Kalimantan Tengah merekodkan penurunan ketara daripada 389 kepada 19 titik panas. - Gambar fail/Astro AWANI
Sumatera Selatan mencatatkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 132, meningkat daripada 122 pada Khamis, manakala Kalimantan Tengah merekodkan penurunan ketara daripada 389 kepada 19 titik panas. - Gambar fail/Astro AWANI

Advertisement

JAKARTA: Kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya terus melanda beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia, dengan 354 titik panas dikesan di seluruh negara ketika operasi memadam kebakaran hutan dan tanah masih giat dijalankan.

Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan pemantauan terkini oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menunjukkan pencemaran udara yang serius masih berterusan di beberapa wilayah terjejas akibat kebakaran.

"Pemantauan BMKG menunjukkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat dan berbahaya masih berlaku di Kalimantan Tengah serta beberapa kawasan di Kalimantan Selatan. Di Sumatera, keadaan sama turut dilaporkan di Sumatera Selatan dan Jambi," menurut kementerian itu menerusi kemas kini terbaharu di media sosial.

Data sistem pemantauan kementerian menunjukkan jumlah titik panas menurun sebanyak 445 atau 55.7 peratus, daripada 799 pada Khamis kepada 354 setakat 9 malam waktu tempatan pada Jumaat.

Sumatera Selatan mencatatkan jumlah titik panas tertinggi iaitu 132, meningkat daripada 122 pada Khamis, manakala Kalimantan Tengah merekodkan penurunan ketara daripada 389 kepada 19 titik panas.

Kalimantan Barat pula merekodkan 24 titik panas dan Jambi dua, manakala tiada titik panas dikesan di Kalimantan Selatan serta Riau.

Kementerian itu memaklumkan sebanyak 61 pesawat masih dikerah bagi operasi pemadaman kebakaran dan tugas berkaitan, termasuk 44 pesawat untuk operasi pengeboman air serta 17 bagi rondaan udara dan modifikasi cuaca.

Daripada jumlah itu, 55 pesawat ditempatkan di wilayah yang diberi keutamaan dalam operasi pemadaman kebakaran, manakala enam lagi ditugaskan di kawasan lain.

Sementara itu, media tempatan pada Jumaat melaporkan asap daripada kebakaran hutan telah merebak ke ruang udara Jakarta, Banten dan Jawa Barat, memetik BMKG.

Dua penerbangan domestik antara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dan Ternate di Maluku Utara turut dilaporkan dibatalkan akibat jarak penglihatan terhad. 

Menurut laman sesawang rasmi pemantauan kualiti udara Dinas Lingkungan Hidup Jakarta, beberapa kawasan di ibu negara itu merekodkan kualiti udara tidak sihat pada pagi Sabtu.

Bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di Tanjung Priok, Jakarta Utara, mencatatkan 156 setakat 6.30 pagi waktu tempatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement