Skip to main content

Dunia

Jerebu: Kerjasama Indonesia-Malaysia tumpu operasi pembenihan awan

Kalimantan Terbakar
Langkah itu diambil susulan asap akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat yang terjejas teruk telah menjejaskan kualiti udara secara serius di seluruh Sarawak. - AP
Advertisement

JAKARTA: Indonesia mengesahkan kerjasama dengan Malaysia sedang berjalan bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan, dengan penyelarasan serta-merta ditumpukan kepada operasi pembenihan awan di sepanjang kawasan sempadan.

Langkah itu diambil susulan asap akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat yang terjejas teruk telah menjejaskan kualiti udara secara serius di seluruh Sarawak. Setakat 9 pagi Jumaat, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan mencecah 195, iaitu menghampiri ambang paras sangat tidak sihat pada bacaan 201.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata perbincangan berterusan sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menangani situasi jerebu itu.

"Mengenai isu jerebu, komunikasi dengan negara jiran terus berjalan. Perbincangan dua hala dengan Malaysia telah diadakan dan kami bersetuju untuk memperkukuh kerjasama termasuk dari segi pencegahan, pemantauan serta sokongan bagi operasi pembenihan awan," katanya kepada Bernama.

Berton berkata Malaysia turut menawarkan bantuan bagi usaha memadamkan kebakaran dan menyuarakan kesediaan untuk membantu.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak Jakarta belum membuat permohonan rasmi untuk aset pemadaman secara langsung seperti bantuan pengeboman air, sambil menambah bahawa Kerajaan Indonesia kekal terbuka untuk bekerjasama sekiranya timbul keperluan dan mengikut mekanisme sedia ada.

Pada 24 Ogos lepas, Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat langkah pencegahan serta pemadaman kebakaran bagi menangani isu jerebu rentas sempadan susulan perbincangan antara Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia Jumhur Hidayat.

Arthur berkata Indonesia juga telah memberi kebenaran kepada Malaysia untuk memasuki ruang udaranya bagi menjalankan operasi pembenihan awan.

Jerebu itu turut menjejaskan sebahagian kawasan di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang merekodkan kualiti udara tidak sihat.

Sementara itu, Konsulat Malaysia di Pontianak memaklumkan bahawa situasi jerebu di Kalimantan semakin memburuk tahun ini selepas tiada jerebu teruk dilaporkan pada 2024 dan 2025.

"Situasi jerebu semakin buruk hari ini. Kami mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan termasuk memakai pelitup muka, mengalihkan pembelajaran sekolah secara dalam talian serta mengurangkan pergerakan atau aktiviti luar kecuali jika perlu, di samping memberi penekanan utama kepada aspek menjaga kesihatan semua rakyat Malaysia di sini," kata pihak konsulat kepada Bernama.

Menurut konsulat itu, seramai 577 rakyat Malaysia berdaftar di Kalimantan Barat, dengan sebahagian besar warga Malaysia yang menetap di seluruh Kalimantan merupakan golongan ekspatriat.

Sebelum ini, Malaysia turut menyokong usaha pemadaman kebakaran tempatan dengan pihak konsulat menyumbangkan enam pam air kepada Pejabat Gabenor Kalimantan Barat pada 2023 untuk membantu menangani kebakaran hutan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement