Jerman atasi Jepun sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia

Bernama
Februari 15, 2024 13:52 MYT
Jepun hilang status sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia kepada Jerman susulan kemelesetan yang dialami pada suku akhir tahun lepas. - Gambar hiasan
TOKYO: Jepun hilang status sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia kepada Jerman susulan kemelesetan yang dialami pada suku akhir tahun lepas disebabkan permintaan domestik yang lemah, lapor Agensi Berita dpa.
Tokyo pada Khamis mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal negara itu pada 2023 bernilai AS$4.21 trilion sekali gus meletakkan Jepun pada tempat keempat ekonomi utama global di belakang Jerman yang mencatatkan nilai sebanyak AS$4.46 trilion.
Ini terutamanya disebabkan oleh kejatuhan mendadak nilai yen.
Pada suku Oktober hingga Disember, ekonomi Jepun menyusut 0.1 peratus berbanding suku sebelumnya yang merupakan kemerosotan suku kedua berturut-turut.
Dua suku negatif berturut-turut merupakan kriteria kemelesetan teknikal.
Penggunaan swasta yang menyumbang lebih separuh daripada kekuatan ekonomi Jepun, merosot 0.2 peratus atau penurunan suku ketiga berturut-turut.
Isi rumah Jepun kini bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan gaji sebenar.
Perbelanjaan pelaburan korporat juga lemah, menyusut sebanyak 0.1 peratus.
Amerika Syarikat dan China adalah dua ekonomi terbesar dunia.
-- BERNAMA
#Jepun #Jerman #pelabuhan korporat #kemelesetan teknikal