Jerman dan Perancis sedia pelan tindakan terhadap akta pengurangan inflasi AS

Bernama
Disember 20, 2022 07:43 MYT
EU wajar menetapkan peraturan yang lebih fleksibel ke atas bantuan kerajaan untuk pelaburan dalam sektor mesra alam mengikut model AS dan mengurangkan masa untuk membuat keputusan.- BERNAMA
BRUSSELS: Jerman dan Perancis pada Isnin menetapkan pelan untuk Kesatuan Eropah (EU) bertindak terhadap program subsidi berbilion dolar oleh Amerika Syarikat (AS) untuk teknologi hijau akan datang, lapor dpa.
EU wajar menetapkan peraturan yang lebih fleksibel ke atas bantuan kerajaan untuk pelaburan dalam sektor mesra alam mengikut model AS dan mengurangkan masa untuk membuat keputusan.
Menteri Ekonomi Jerman Robert Habeck dan Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire juga mendesak AS memasukkan syarikat Eropah dalam pelepasan cukai yang dirancang untuk perniagaan AS.
EU bertindak balas pantas terhadap Akta Pengurangan Inflasi (IRA) bernilai EUR346 bilion (AS$367 bilion) baru-baru ini kerana bimbang perundangan itu boleh menyebabkan syarikat yang berpangkalan di EU berpindah ke luar negara.
IRA memastikan kredit cukai untuk pengguna AS yang membeli kenderaan elektrik dengan bateri yang dikeluarkan dalam negara dan di negara tertentu yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat.
EU dan AS adalah rakan dagangan utama namun tidak mempunyai perjanjian sedemikian.
Selain mencadangkan perubahan kepada peraturan pelaburan awam dalam blok itu, Jerman dan Perancis juga mahu perundingan antara AS dan EU dijalankan pada masa hadapan berhubung sokongan kerajaan terhadap industri.
Berlin dan Paris juga mahu membangunkan perkongsian kawal selia yang lebih luas dengan AS untuk menetapkan piawaian umum dalam pembangunan teknologi hijau seperti cadangan sama EU sebelum ini.
Namun pelan Peranis-Jerman itu tidak termasuk gesaan cabang eksekutif EU untuk mewujudkan dana bagi seluruh pangkalan perindustrian blok itu yang dibiayai menerusi pinjaman bersama-EU.
Sebaliknya, Paris dan Berlin mahu menggunakan kewangan yang belum diteroka daripada dana bantuan COVID-19 EU, bekerjasama dengan Bank Pelaburan Eropah (EIB) dan membangunkan pasaran modal blok itu untuk memperoleh lebih banyak sumber pembiayaan.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Kesatuan Eropah #Akta Pengurangan Inflasi #subsidi