INTERNATIONAL
Jerman henti sementara terima pelarian rentan melalui program PBB
Pihak berkuasa Jerman berkawal di laluan rentas sempadan memasuki negara itu. Kerajaan yang akan datang dijangka mengambil pendekatan lebih ketat terhadap migrasi. - AP
BERLIN: Jerman menghentikan sementara penerimaan pelarian rentan di bawah program penempatan semula Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Berita Jerman dpa pada Selasa.
Kementerian Dalam Negeri Jerman dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (UNHCR) mengesahkan bahawa tiada permohonan untuk penempatan semula yang diluluskan buat masa ini, sementara rundingan untuk membentuk gabungan pemerintahan di Berlin terus berlangsung.
Kerajaan Jerman yang akan datang dijangka mengambil pendekatan yang lebih ketat terhadap migrasi, yang menjadi isu utama dalam kempen pilihan raya parlimen pada Februari lalu.
Bakal gabungan parti-parti politik termasuk Parti Demokrat Kristian yang dipimpin Friedrich Merz, Kesatuan Sosial Kristian dari Bavaria, dan Parti Sosial Demokrat bersetuju untuk menamatkan program penerimaan sukarela jika boleh.
Jerman berjanji untuk menerima seramai 13,100 pelarian pada 2024 dan 2025 melalui skim UNHCR, yang juga mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Eropah.
Menurut data UNHCR, seramai 5,061 orang tiba di negara itu setakat ini, termasuk pelarian Syria dari Turkiye yang dipersetujui oleh EU pada tahun 2016.
Di bawah program itu, UNHCR mencadangkan agar pelarian yang sangat rentan diterima oleh negara tuan rumah.
Wakil-wakil Jerman kemudian menjalankan sesi temuduga dan pemeriksaan keselamatan di lokasi.
-- BERNAMA