[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Jerman jangka dikecualikan daripada tarif 100 peratus ubat-ubatan Trump di bawah perjanjian EU-AS - Kerajaan

Bernama 30/09/2025 | 01:00 MYT
HILLE: Kami juga mengandaikan bahawa tarif 15 peratus yang dipersetujui akan terpakai untuk produk farmaseutikal. Dan sudah tentu, kami mengalu-alukan perkara ini. - Foto Federal Government/Jesco Den
MOSCOW: Kerajaan Jerman menjangkakan tidak akan terjejas dengan tarif 100 peratus Amerika Syarikat (AS) ke atas produk farmaseutikal, sebaliknya hanya tertakluk kepada tarif 15 peratus seperti yang dipersetujui di bawah perjanjian perdagangan EU-AS, kata Timbalan Jurucakap Kerajaan Persekutuan Jerman, Sebastian Hille pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada 26 Sept, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif 100 peratus terhadap produk farmaseutikal daripada syarikat yang tidak mempunyai atau membina kilang di AS, serta tarif 25 peratus ke atas trak berat yang dibuat di luar negara, berkuat kuasa 1 Okt.

"Kami juga mengandaikan bahawa tarif 15 peratus yang dipersetujui akan terpakai untuk produk farmaseutikal. Dan sudah tentu, kami mengalu-alukan perkara ini," kata Hille dalam satu taklimat.

Beliau berkata tarif 15 peratus juga kekal untuk trak berat.

Pada 27 Julai, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Trump mencapai perjanjian perdagangan yang menetapkan kebanyakan eksport EU ke AS akan dikenakan tarif 15 peratus. Antara syarat lain, Brussels turut berjanji membeli produk tenaga AS bernilai US$750 bilion.

-- BERNAMA

#Jerman #tarif AS #Sebastian Hille #perjanjian perdagangan EU-AS