Ringkasan AI
- Kabinet Jerman meluluskan garis panduan baharu untuk meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan golongan muda dalam talian, termasuk larangan penggunaan rangkaian sosial bawah 13 tahun.
- Peraturan baharu ini turut memperkenalkan pengesahan umur melalui Dompet Identiti Digital EU bermula 2027 dan had penggunaan berbeza mengikut umur remaja.
- Jerman juga mendesak platform digital menghentikan reka bentuk yang mendorong ketagihan serta mematikan sistem pengesyoran algoritma secara automatik untuk perlindungan pengguna muda.
BERLIN: Kabinet Jerman pada Rabu meluluskan garis panduan dasar bagi meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan golongan muda dalam talian, termasuk larangan di peringkat kebangsaan terhadap penggunaan rangkaian sosial oleh mereka yang berusia bawah 13 tahun sehingga peraturan Eropah berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi.
Langkah yang dirancang itu memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak daripada bahaya dalam talian, meningkatkan kemahiran mereka menggunakan peralatan digital dengan cekap serta menyokong penyertaan mereka dalam dunia digital. Langkah itu susulan laporan akhir suruhanjaya pakar bebas yang mengemukakan 56 syor pada bulan lepas.
“Analisis selesai, kini tiba masanya untuk pelaksanaan. Menerusi rangka kerja baharu ini, Kerajaan Persekutuan mewujudkan asas bagi memastikan kanak-kanak dan golongan muda juga dapat membesar dengan selamat serta berdikari dalam dunia digital,” kata Menteri Pendidikan dan Hal Ehwal Keluarga Karin Prien dalam satu kenyataan.
“Perlindungan, pemerkasaan dan penyertaan – itulah tanggungjawab kami. Internet sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, khususnya bagi golongan muda. Oleh itu, kami tidak mahu menyisihkan mereka daripada dunia digital, sebaliknya memperkasakan mereka agar lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran,” katanya.
Di bawah peraturan baharu itu, kanak-kanak berusia bawah 13 tahun secara umumnya dilarang menggunakan rangkaian sosial seperti TikTok, Snapchat atau Instagram. Hanya platform yang direka khusus untuk kanak-kanak akan dibenarkan. Bagi remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun, peraturan itu akan menetapkan had berbeza mengikut peringkat umur.
Kerajaan turut merancang untuk melaksanakan pengesahan umur yang boleh dipercayai mulai 2027 menerusi pelaksanaan Dompet Identiti Digital Kesatuan Eropah (EU) di Jerman, yang dikenali sebagai “d-you”.
Jerman juga akan mendesak platform digital supaya menghentikan penggunaan reka bentuk yang mendorong ketagihan secara lalai. Dalam rundingan mengenai Akta Kanak-Kanak EU, Berlin mahu sistem pengesyoran algoritma dimatikan secara automatik serta langkah diambil bagi mencegah ciri yang menggalakkan aktiviti menatal tanpa henti atau penggunaan secara kompulsif.
-- BERNAMA-ANADOLU