DUNIA
Jerman tolak cadangan EU untuk pantau aplikasi mesej dalam talian
HUBIG: Jerman tidak akan bersetuju dengan cadangan seperti itu di peringkat EU. - Foto The Federal Government / Sandra Steins
BERLIN: Jerman menyuarakan bantahannya terhadap cadangan peraturan Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu yang dikenali sebagai "pengawalan sembang" bagi memantau mesej dalam talian untuk memerangi penyebaran bahan pornografi kanak-kanak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Pengawalan sembang tanpa sebab munasabah mesti menjadi perkara terlarang dalam sebuah negara berperlembagaan," kata Menteri Kehakiman Stefanie Hubig.
Beliau menegaskan komunikasi peribadi tidak seharusnya diletakkan di bawah syak wasangka umum, dan pihak berkuasa tidak wajar memaksa penyedia aplikasi mesej untuk mengimbas mesej bagi kandungan mencurigakan sebelum ia dihantar.
"Jerman tidak akan bersetuju dengan cadangan seperti itu di peringkat EU," kata Hubig, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pendirian pentadbiran Canselor Friedrich Merz berhubung isu berkenaan.
Negara anggota EU pada Rabu membincangkan rancangan kontroversi itu di peringkat duta.
Cadangan undang-undang yang diperkenalkan pada 2022 itu membolehkan pihak berkuasa mengimbas mesej dan gambar pada aplikasi mesej seperti WhatsApp, Signal dan lain-lain bagi mengesan kandungan pornografi kanak-kanak, sekali gus mengelakkan sistem penyulitan.
Rancangan berkenaan mendapat kritikan meluas daripada organisasi perlindungan data dan penyedia aplikasi mesej.
Sekiranya persetujuan dicapai, para menteri EU dijangka mengundi rang undang-undang itu seawal minggu depan sebelum ia dibentangkan untuk pengundian di Parlimen Eropah.
Bantahan Jerman terhadap cadangan itu dianggap penting kerana undi daripada negara berpenduduk besar dalam blok berkenaan mempunyai pengaruh yang besar.
Ahli Parlimen Parti Hijau, Irene Mihalic, pada Rabu menyifatkan cadangan itu sebagai pencerobohan terhadap hak dan kebebasan asasi, sambil memberi amaran bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) tidak menjamin perlindungan berkesan terhadap pornografi kanak-kanak.
"Malah sistem AI yang dirancang itu, jika diperhatikan, mempunyai kadar ralat yang sangat tinggi dan boleh menghasilkan berjuta-juta laporan palsu, yang akan memberikan beban besar kepada pihak berkuasa penyiasatan," katanya. "Kes sebenar pula mungkin tenggelam dalam longgokan data itu."
--BERNAMA-dpa
TAG: Jerman, EU, cadangan, kawal selia, pantau, mesej dalam talian, bantahan