[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

'Jika AS diserang, kami akan tunjukkan kekuatan bala tentera kepada Iran' - Trump

Agensi 15/06/2025 | 08:54 MYT
Trump dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social pada awal pagi Ahad menegaskan bahawa AS tidak terlibat dalam sebarang serangan terhadap Iran semalam. - Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Iran akan berdepan kekuatan ketenteraan Amerika pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini sekiranya negara itu menyerang AS dalam apa jua cara dan bentuk.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya awal pagi Ahad, Trump menegaskan bahawa AS tidak terlibat dalam sebarang serangan terhadap Iran semalam.
"Kami boleh dengan mudah merundingkan perjanjian antara Iran dan Israel, dan menamatkan konflik berdarah ini!" tegas beliau.
Kenyataan itu dibuat susulan serangan balas antara Israel dan Iran yang semakin meruncing, dengan kedua-dua pihak melancarkan serangan baharu semalaman sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik serantau yang lebih luas.
Israel dilaporkan terus memperluas kempen serangan mengejut ke atas musuh utamanya itu dengan satu serangan ke atas loji gas terbesar dunia di Iran yang mencetuskan ketegangan baharu.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan puluhan peluru berpandu dan dron dengan menyasarkan infrastruktur tenaga dan bekalan bahan api jet pejuang milik Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula memberi amaran bahawa serangan semasa hanyalah permulaan dan Iran bakal menyaksikan tindak balas yang jauh lebih dahsyat dalam beberapa hari akan datang.
#Benjamin Netanyahu #Donald Trump #Iran #Amerika Syarikat