Joe Biden teruskan jelajah penerangan pakej rangsangan

Astro Awani
Mac 16, 2021 23:17 MYT
Pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini turut mengandungi geran berjumlah USD 28 bilion untuk menyokong pengusaha restoran. - Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden terus mengadakan jelajah penerangan Pelan Rangsangan AS$1.9 trilion dengan memberi tumpuan kepada perniagaan kecil di kawasan luar bandar di Philadelphia.
Menurut Biden, lebih 400,000 perniagaan kecil di serata Amerika telah gulung tikar akibat kesan pandemik COVID-19.
Dalam masa yang sama, berjuta perniagaan kecil yang lain berdepan cabaran untuk kekal beroperasi.
Pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini turut mengandungi geran berjumlah AS$28 bilion untuk menyokong pengusaha restoran.
Strategi White House kini adalah untuk mempromosikan pelan ini dan menjelaskan manfaatnya kepada seluruh negara Uncle Sam itu bagi mengelak kesilapan yang dilakukan pada 2009 berulang.
Biden sebelum ini menjelaskan dua strategi utamanya iaitu 100 juta suntikan vaksin dalam masa 60 hari dan 100 juta penemrima pindahan tunai daripada rangsangan dalam masa 100 hari.
Jelajah yang sama turut dilakukan Naib Presiden Kamala Harris.
#Joe Biden #Kamala Harris #Amerika Syarikat #pakej #rangsangan #program vaksinasi #vaksin #perniagaan