SPEAKER dewan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi bimbang sekiranya Perdana Menteri Britain, Boris Johnson meluluskan vaksin COVID-19 yang tidak memenuhi piawaian di negara itu.

Lebih memburukkan keadaan sekiranya Presiden Donald Trump akan tetap bersetuju mengenai perkara itu.

“Kebimbangan saya adalah bahawa sistem UK untuk perkara (vaksin) seperti itu tidak setara dengan sistem kita di Amerika Syarikat.

“Jadi, jika Boris Johnson memutuskan bahawa beliau akan meluluskan vaksin dan presiden (Trump) menerimanya, itulah kebimbangan yang saya fikirkan mengenai persamaan antara kedua mereka,” kata Pelosi.

Pelosi ditanya mengenai sama ada Johnson adalah individu yang harus dijadikan contoh kerana keupayaan mentadbir negara dan mengurangkan kes koronavirus.

Pelosi dengan pantas menjawab beliau tidak tahu sambil menambah begitu juga dengan Trump.

Pelosi kemudian menyatakan kebimbangan mengenai persamaan kedua pemimpin itu yang mana kemungkinan Trump akan bersetuju dengan ubat yang diluluskan UK.

“Amerika perlu lebih berhati-hati dengan apa yang berlaku di UK.

“Amerika mempunyai peraturan yang sangat ketat dalam Pentabidran Makanan dan Ubatan (FDA) mengenai jumlah ujian klinikal, waktu, sukarelawan,” ujarnya.