Jokowi kutuk serangan Israel di Gaza, bimbang dengan krisis kemanusiaan

Bernama
Oktober 30, 2023 15:20 MYT
Jokowi menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan usaha ke arah gencatan senjata diusahakan dan Indonesia sedang giat berkomunikasi dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu itu. - Gambar fail/IG Jokowi
JAKARTA: Presiden Joko Widodo mengulangi pendirian pemerintah Indonesia yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata Indonesia amat marah dengan keadaan Gaza yang semakin meruncing, khususnya situasi kemanusiaan.
"Kami terus mengikuti perkembangan di Gaza dan pendirian Indonesia sangat jelas dan tegas: mengutuk sekeras-kerasnya serangan rambang terhadap orang awam dan kemudahan awam di Gaza," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jokowi menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan usaha ke arah gencatan senjata diusahakan dan Indonesia sedang giat berkomunikasi dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu itu.
Beliau turut menekankan keperluan agar bantuan kemanusiaan dipercepatkan dan bantuan pertama dari Indonesia akan dihantar minggu ini berdasarkan permintaan dan keperluan rakyat Palestin.
"Bantuan ini adalah gabungan sumbangan daripada pemerintah, komuniti perniagaan dan masyarakat," kata beliau.
-- BERNAMA
#gabungan sumbangan #komuniti perniagaan #gencatan senjata #orang awam