Jokowi tiba di Kiev, adakan pertemuan dengan Presiden Ukraine

Nickyson Nyambar
Jun 29, 2022 12:35 MYT
Jokowi bersama isterinya, Iriana tiba di Stesen Central Kiev kira-kira jam 8.50 pagi waktu tempatan. - Foto REUTERS
SELEPAS menempuh perjalanan lebih 11 jam menggunakan kereta api berkelajuan tinggi, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi tiba di Kiev, ibu negara Ukraine.
Ketibaan pemimpin nombor satu Indonesia itu adalah untuk pertemuan empat mata dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk berbincang mengenai krisis berkaitan yang didepani negara bergolak itu, selain membuka sesi dialog berkenaan krisis global.
Memetik laporan Kompas.com, ketibaan beliau pada 8.50 pagi di Stesen Central Kiev turut disertai isterinya, Iriana Widodo serta Menteri Luar Retno Marsudi.
Mereka disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Ukraine, Dmytro Senik, Timbalan Menteri Ekonomi-Wakil Pelaburan Ukrain, Taras Kachka
Jokowi dilaporkan bakal berangkat ke Istana Maryinsky untuk bertemu dengan pemimpin negara itu.
Antara isu yang bakal menjadi tumpuan kedua-dua negara termasuk isu bekalan makanan seperti gandum dan baja yang mana kedua negara merupakan pembekal utama di pasaran global.
Dalam sesi perjumpaan kumpulan G7 di Jerman pada Isnin lalu, Jokowi menegaskan bahawa negara anggota perlu membantu Ukraine kembali meneruskan eksport gandum dan bercakap lebih jelas berkenaan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia tidak merangkumi makanan dan baja.
#Ukraine-Indonesia #bilateral #Jokowi #Presiden Indonesia #Kiev #Kyiv #Joko Widodo #Ukraine #Volodymyr Zelensky #Rusia