DUNIA

Jualan kereta elektrik dunia kembali meningkat, China terus mendominasi

Bernama 26/07/2025 | 11:31 MYT
Sepanjang separuh pertama tahun ini, lebih 5.9 juta kenderaan elektrik bateri (BEV) didaftarkan di seluruh dunia, peningkatan 37 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. - Unsplash
MUNICH: Jualan global kereta elektrik menunjukkan peningkatan semula, didorong oleh pertumbuhan kukuh di China dan momentum baharu di Eropah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik analisis terbaharu firma perunding PwC.

Sepanjang separuh pertama tahun ini, lebih 5.9 juta kenderaan elektrik bateri (BEV) didaftarkan di seluruh dunia, peningkatan 37 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. Sebagai perbandingan, jumlah jualan sepanjang tahun 2024 hanya mencatatkan pertumbuhan sekitar 14 peratus.

China kekal sebagai peneraju pasaran, dengan lebih 3.7 juta BEV baharu didaftarkan - lonjakan 47 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eropah turut mencatatkan "kebangkitan semula" dalam penggunaan kenderaan elektrik, dengan 1.2 juta BEV dijual di rantau itu - peningkatan 25 peratus dan satu rekod baharu bagi separuh pertama sebarang tahun. Penganalisis PwC percaya pengetatan had pelepasan karbon dioksida (CO2) bagi flit kenderaan turut menyumbang kepada peningkatan itu.

Bagaimanapun, Eropah secara beransur-ansur kehilangan kedudukan dalam pasaran global kenderaan elektrik berikutan kadar pertumbuhan yang lebih pantas di tempat lain, khususnya di China.

"Pengeluar kereta Jerman hampir tidak meraih manfaat daripada lonjakan besar ini," kata PwC, merujuk kepada penurunan 32 peratus dalam jualan BEV oleh pengeluar Jerman di China. Namun begitu, pengeluar Jerman mencatat pertumbuhan ketara di Eropah dalam tempoh yang sama.

Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran ketiga terbesar bagi kereta elektrik selepas China dan Eropah, namun pertumbuhannya masih perlahan.

Hanya 592,000 BEV baharu didaftarkan di AS dalam tempoh separuh pertama tahun ini, peningkatan tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jerman pula kembali menduduki tempat ketiga secara global, dengan 249,000 pendaftaran BEV baharu, diikuti oleh United Kingdom dengan 225,000 pendaftaran.

-- BERNAMA

#kereta elektrik #China #pasaran #BEV #kenderaan elektrik