[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
DUNIA

Jumlah pendaki terperangkap di Gunung Fuji menurun selepas peraturan diperketat

Bernama 12/10/2025 | 06:15 MYT
Bilangan pendaki terperangkap di Gunung Fuji dari laluan wilayah Shizuoka menurun 44 peratus berbanding tahun lalu, tanpa kematian dilaporkan. -Gambar fail/Reuters
SHIZUOKA: Bilangan pendaki yang terperangkap di Gunung Fuji dari laluan wilayah Shizuoka menurun sebanyak 44 peratus berbanding tahun sebelumnya tanpa sebarang kematian dilaporkan, susulan pelaksanaan peraturan pendakian yang lebih ketat, lapor Agensi Berita Kyodo memetik polis tempatan.


Ringkasan AI
  • Bilangan pendaki terperangkap di Gunung Fuji dari laluan wilayah Shizuoka menurun 44 peratus berbanding tahun lalu, tanpa kematian dilaporkan
  • Penurunan dikaitkan dengan peraturan pendakian lebih ketat termasuk larangan waktu pendakian dan kenaikan yuran masuk
  • Kerajaan Shizuoka pertimbang denda dan bayaran operasi penyelamatan helikopter bagi kurangkan pendakian berisiko di luar musim rasmi


Walaupun jumlah keseluruhan pendaki yang menggunakan laluan wilayah itu dari Julai hingga September kekal tinggi sekitar 84,000 orang, hanya 36 pendaki dilaporkan memerlukan bantuan, berbanding 64 orang pada 2024 yang menyaksikan enam kematian.

Gunung tertinggi Jepun, setinggi 3,776 meter itu sebelum ini berdepan pelbagai masalah melibatkan pendaki, termasuk amalan "pendakian peluru" (bullet climbing) iaitu mendaki pada waktu malam tanpa berehat di pondok gunung.

Ada juga pendaki yang mendaki dengan peralatan tidak mencukupi atau berpakaian terlalu santai, seperti hanya memakai T-shirt, seluar pendek dan selipar.

Bagi mengelakkan pendakian berisiko, kerajaan wilayah Shizuoka melipatgandakan yuran masuk kepada 4,000 yen (sekitar RM112) tahun ini dan melarang pendaki memasuki laluan antara 2 petang hingga 3 pagi kecuali mereka mempunyai tempahan penginapan di pondok gunung.

Langkah sama turut dilaksanakan oleh wilayah Yamanashi, yang memiliki satu daripada empat laluan rasmi ke Gunung Fuji.

Yamanashi turut melaporkan penurunan ketara kes menyelamat di gunung sejak memperkenalkan peraturan itu tahun lalu.

Namun begitu, peraturan hanya berkuat kuasa semasa musim pendakian rasmi, menyebabkan kemalangan masih berlaku di luar tempoh berkenaan.

Antara kes yang dilaporkan ialah tiga lelaki Jepun berusia 30 hingga 50 tahun yang ditemukan mati pada Jun 2024, serta seorang warga Amerika berusia 60-an yang diselamatkan akibat hipotermia ketika gunung masih ditutup kepada umum.

Pada April 2025, seorang pelajar universiti warga China diselamatkan menggunakan helikopter selepas jatuh sakit berhampiran puncak.

Empat hari kemudian, dia sekali lagi diselamatkan apabila kembali ke gunung itu untuk mengambil semula telefon bimbit yang tertinggal dan mengalami masalah kesihatan.

Kerajaan Wilayah Shizuoka kini mempertimbangkan untuk memperkenalkan denda dan bayaran bagi operasi penyelamatan menggunakan helikopter sebagai langkah mengurangkan pendakian berisiko dan cuai.

-- BERNAMA



#pendaki terperangkap #Gunung Fuji #Shizuoka #peraturan pendakian lebih ketat