Skip to main content

Dunia

Jumlah tahanan Palestin dan Arab di penjara Israel meningkat 83 peratus

51504680914_Penjara.jpg
Jumlah tahanan politik Palestin dan Arab di penjara Israel kini melebihi 9,600 orang, mencerminkan peningkatan sebanyak 83 peratus berbanding angka sebelum genosid iaitu 5,250 orang, menurut persatuan tahanan. - Foto hiasan

RAMALLAH: Jumlah tahanan politik Palestin dan Arab di penjara Israel kini melebihi 9,600 orang, mencerminkan peningkatan sebanyak 83 peratus berbanding angka sebelum genosid iaitu 5,250 orang, menurut persatuan tahanan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Persatuan Tahanan Palestin, Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan serta Persatuan Sokongan Tahanan dan Hak Asasi Addameer dalam satu laporan mendedahkan yang ketika ini terdapat 86 tahanan wanita, termasuk dua remaja (bawah 18 tahun) dan dua wanita yang ditahan sebelum genosid.

Advertisement

Daripada jumlah itu, 25 wanita ditahan di bawah “tahanan pentadbiran” tanpa perbicaraan atau pertuduhan, manakala kira-kira 350 remaja turut ditahan, kebanyakannya di penjara Ofer dan Megiddo. Menjelang akhir 2025, seramai 180 kanak-kanak ditahan di bawah kategori “tahanan pentadbiran”.

Istilah “tahanan pentadbiran” merujuk kepada rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki dan ditahan tanpa perbicaraan atau didakwa di bawah perintah ketenteraan.

Bagi kategori ini, jumlah tahanan meningkat mendadak kepada lebih 3,532 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, iaitu peningkatan sebanyak 168 peratus (kira-kira 2.7 kali ganda) berbanding kira-kira 1,320 orang sebelum genosid bermula.

Kebanyakan tahanan pentadbiran terdiri daripada bekas banduan, selain pelajar, wartawan, peguam, jurutera, doktor, ahli akademik, ahli parlimen, aktivis, pekerja serta ahli keluarga tahanan atau syuhada.

Bagi kategori “pejuang tidak sah”, istilah yang merujuk kepada rakyat Palestin dari Gaza yang ditahan tanpa perbicaraan atau didakwa di bawah “Undang-Undang Pejuang Tidak Sah”, jumlah mereka mencecah 1,251 orang, tidak termasuk yang ditahan di kem tentera.

“Kira-kira 50 peratus daripada semua tahanan politik Palestin ditahan tanpa perbicaraan atau pertuduhan,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut menyatakan jumlah tahanan yang sakit meningkat dengan ketara, dengan majoriti mereka mengalami pelbagai penyakit sama ada sedia ada, akibat kecederaan oleh pasukan pendudukan, atau penyakit yang timbul disebabkan keadaan tahanan yang tidak bersih, keras, serta penyeksaan dan penafian rawatan perubatan.

Sejak pendudukan pada 1967, seramai 326 rakyat Palestin terbunuh atau meninggal dunia dalam sistem penjara, termasuk 89 orang sejak genosid di Gaza bermula.

Angka itu hanya merangkumi mereka yang dikenal pasti, manakala puluhan dari Gaza masih hilang secara paksa.

Laporan itu turut menyimpulkan yang pihak berkuasa pendudukan terus menahan jenazah 97 tahanan Palestin yang terbunuh, meningkat lebih 781 peratus (kira-kira 8.8 kali ganda) berbanding tempoh sebelum genosid apabila hanya 11 jenazah ditahan.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video