DUNIA

Jumlah wartawan terbunuh di Gaza meningkat kepada 232 orang

Astro Awani 25/07/2025 | 08:00 MYT
Pejabat Media Gaza mengesahkan seramai 232 wartawan terbunuh sejak perang Israel-Gaza bermula, termasuk jurufoto Adam Abu Harbid yang maut dalam serangan udara di Al-Yarmouk. -Gambar fail/AP
GAZA CITY: Pejabat Media Kerajaan Gaza mengesahkan jumlah wartawan yang terbunuh sejak bermulanya perang Israel ke atas Gaza kini meningkat kepada 232 orang.


Ringkasan AI
  • Pejabat Media Gaza mengesahkan seramai 232 wartawan terbunuh sejak perang Israel-Gaza bermula, termasuk jurufoto Adam Abu Harbid yang maut dalam serangan udara di Al-Yarmouk.
  • Pihak berkuasa Gaza menyifatkan pembunuhan wartawan sebagai penyeksaan sistematik dan menyeru badan kewartawanan global agar mengecam serta mendesak siasatan bebas.
  • Serangan yang membunuh Abu Harbid turut mencederakan keluarganya, dan berlaku di tengah krisis kemanusiaan yang telah meragut lebih 59,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.


Ia susulan kematian jurufoto Adam Abu Harbid dalam serangan udara di kawasan Al-Yarmouk, di sini.

Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi Telegram, pihak berkuasa Gaza menyifatkan insiden tersebut sebagai sebahagian daripada penyeksaan sistematik dan pembunuhan terancang terhadap wartawan Palestin oleh penjajah Israel.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan dan penyasaran wartawan Palestin secara sistematik,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Media turut menyeru Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Persekutuan Wartawan Arab, dan semua badan kewartawanan global agar mengecam jenayah berterusan terhadap wartawan dan petugas media di Gaza, serta mendesak siasatan bebas dijalankan.

Menurut sumber perubatan, Abu Harbid terbunuh bersama tiga ahli keluarganya apabila khemah tempat mereka berlindung berhampiran pasar Al-Yarmouk terkena serangan helikopter Israel.

Isteri dan anak-anak beliau turut cedera dalam serangan tersebut.

Sejak Oktober 2023, lebih 59,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 1,000 orang awam dilaporkan maut ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan yang dikawal tentera Israel dan sekutu.




#Pejabat Media Gaza #wartawan terbunuh #jurufoto #Adam Abu Harbid #Al-Yarmouk