DUNIA
Jurucakap Hamas, Abu Obeida, terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kematian Abu Obeida. - Foto X/@ahhmedshh
BANDARAYA GAZA: Israel mendakwa telah membunuh Abu Obeida, jurucakap utama sayap bersenjata Hamas, dalam satu serangan udara yang dilancarkan ke atas Gaza hujung minggu lalu.
Ringkasan AI
- Israel mendakwa membunuh Abu Obeida, jurucakap utama sayap bersenjata Hamas, dalam serangan udara yang menyasarkan kawasan Rimal di Bandaraya Gaza.
- Operasi ketenteraan dijalankan bersama Shin Bet dan Komando Selatan, berdasarkan risikan yang mengenal pasti lokasi persembunyian beliau; beberapa penghuni lain turut terkorban.
- Hamas belum mengesahkan kematian Abu Obeida, tetapi menuduh Israel menyebarkan maklumat palsu sebagai sebahagian daripada perang psikologi, di tengah perbincangan Israel untuk meluaskan operasi di Gaza.
Beliau terkenal dengan penampilan beruniform tentera dan keffiyeh merah yang menutupi wajahnya.
Menurut laporan tentera Israel, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama agensi perisikan Shin Bet dan Komando Selatan, berdasarkan maklumat risikan yang mengenal pasti lokasi persembunyian Abu Obeida.
Serangan itu turut mengorbankan beberapa penghuni lain di apartmen yang sama, menurut sumber Palestin.
Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kematian Abu Obeida.
Namun, kumpulan itu memberi amaran terhadap penyebaran maklumat palsu yang didakwa sebagai sebahagian daripada “perang psikologi” oleh Israel.
Serangan ini berlaku ketika kabinet keselamatan Israel bersidang untuk membincangkan perluasan operasi ketenteraan di Gaza, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Bandaraya Gaza.
Tiada perbincangan mengenai gencatan senjata dijadualkan dalam mesyuarat tersebut.
Israel menyatakan bahawa kematian Abu Obeida adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk melumpuhkan kepimpinan Hamas dan membebaskan tebusan yang masih ditahan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami