BANDARAYA GAZA (Palestin): Seorang jurugambar bebas untuk Agensi Berita Anadolu (AA) Montaser Al-Sawwaf berkongsi pengalaman pahitnya bagaimana beliau cedera dalam serangan udara Israel ke atas kawasan perumahan Al-Tuffah di sini.

Serangan itu turut meragut nyawa 47 ahli keluarganya sementara yang lain masih terperangkap di bawah runtuhan.

"Pada malam Jumaat lepas, pesawat pejuang Israel mengebom rumah keluarga saya, mengakibatkan ia musnah sepenuhnya dan ketika itu keluarga saya berada di dalam rumah.

"Pengeboman itu mengakibatkan saya kehilangan ibu bapa, dua abang, beberapa anak mereka dan sepupu. Muka saya turut mengalami kecederaan," kata Montaser.

Kementerian Kebudayaan yang berpangkalan di Gaza turut berdukacita dengan pemergian bapa Montaser, Mustafa yang juga seorang wartawan dan penganalisis politik terkenal.

Montaser berkata serangan udara itu turut menyebabkan kecederaan pada mata dan sedang bergelut untuk mencari doktor mata di Gaza.

Pada masa ini, saya merawat mata saya yang cedera dengan bimbingan daripada doktor di luar Gaza melalui rundingan dalam talian atau panggilan telefon.

"Walaupun kecederaan saya tidak mengancam nyawa, ia masih memerlukan rawatan khusus oleh pakar mata," katanya.

-- BERNAMA