Jururawat parah ditumbuk selepas didakwa beri suntikan vaksin tanpa persetujuan

Astro Awani
September 24, 2021 02:44 MYT
Polis kini sedang memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek untuk tampil ke balai berdekatan. - Gambar hiasan
SEORANG jururawat wanita ditumbuk beberapa kali di bahagian muka selepas diserang seorang lelaki yang mendakwa isterinya disuntik vaksin COVID-19 tanpa persetujuannya.
Insiden berkenaan berlaku di sebuah farmasi di Quebec, Kanada pada Isnin lalu.
Ketika kejadian, lelaki tersebut dilaporkan telah menyerbu farmasi berkenaan dan menuduh seorang jururawat berusia dalam lingkungan 40-an memberi suntikan vaksin kepada isterinya.
Jurucakap polis, Martin Carrier memberitahu CNN, jururawat tersebut cedera parah dalam insiden berkenaan.
"Dari mula suspek sangat marah dan bertindak agresif. Dia tanya jururawat tersebut mengapa dia menyuntik isterinya tanpa persetujuannya.
"Dia kemudian bertindak menumbuk jururawat tersebut beberapa kali di bahagian muka sebelum melarikan diri," katanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan.
Sejak kejadian, farmasi berkenaan telah menghentikan program pemberian vaksin.
Polis kini sedang memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek untuk tampil ke balai berdekatan.
#jururawat #cedera parah #ditumbuk #vaksin