DUNIA

Juruterbang Batik Air berjaya mendarat pesawat dalam keadaan cuaca buruk

Astro Awani 29/06/2025 | 23:50 MYT
Rakaman video insiden yang tular di media sosial menunjukkan detik-detik mencemaskan ketika pesawat itu cuba menstabilkan kedudukannya sebelum berjaya mendarat dengan selamat.
TANGERANG: Sebuah pesawat Batik Air nyaris mengalami nahas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (Soetta) pada Sabtu, selepas cuaca buruk melanda kawasan tersebut.
Pesawat jenis Boeing 737 dengan nombor pendaftaran PK-LDJ itu dilaporkan mendarat dalam keadaan miring akibat angin silang yang kuat, sehingga sayap dan enjin kanannya hampir menyentuh permukaan landasan.
Rakaman video insiden yang tular di media sosial menunjukkan detik-detik mencemaskan ketika pesawat itu cuba menstabilkan kedudukannya sebelum berjaya mendarat dengan selamat.
Menurut jurucakap Batik Air, Danang Mandala Prihantoro, pesawat tersebut mendarat dalam keadaan hujan lebat dan semua prosedur keselamatan telah dipatuhi.
“Pendaratan berlangsung dengan selamat dan pesawat tidak mengalami sebarang kerosakan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Pasukan jurutera telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat dan mengesahkan bahawa ia boleh kembali beroperasi seperti biasa.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Cuaca ekstrem yang melanda Jakarta pada hari kejadian turut menyebabkan beberapa penerbangan lain terpaksa berlegar di udara sebelum dibenarkan mendarat.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang dan mencetuskan perbincangan hangat mengenai keselamatan penerbangan dalam cuaca buruk.
#Batik Air #cuaca buruk #Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta #angin silang